sukan@hmetro.com.my
Nagoya: Kuartet 4×100 meter (m) lelaki negara sudah menyediakan pelan B sekiranya jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi tidak dapat meneruskan cabaran pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 susulan kecederaan dialaminya, semalam.
Pelari pecut negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee mengakui kehilangan Azeem akan memberi kesan kepada pasukan, namun menegaskan skuad negara tetap memiliki pilihan lain bagi mengisi kekosongan berkenaan.
Menurutnya, Pengiran Aidil Auf Hajam, Muhammad Haziq Mohamad Akhir, Mohamad Armin Zahryl Abd Latif dan Muhammad Umaira Subri antara pelari yang boleh dipertimbangkan untuk membentuk kuartet negara sekiranya Azeem tidak sempat pulih.
“Untuk kami, kami akan terus berjuang apa-apa terjadi sekalipun. Tiada Azeem memang satu kekurangan untuk pasukan Malaysia, tetapi sekiranya Azeem tidak dapat bertanding bersama kami, kami ada pelan sandaran.
“Insya-Allah, kami akan buat yang terbaik untuk Malaysia dan diri kami sendiri,” katanya ketika ditemui.
Danish berkata, keadaan sebenar Azeem masih belum diketahui apabila doktor kini sedang menjalankan rawatan terhadap pelari itu, dengan perkembangan lanjut dijangka diketahui esok.
“Untuk 4x100m, kami belum ada sebarang perbincangan lagi. Status Azeem pun kami belum dapat kenal pasti kerana doktor sedang merawatnya.
“Kami akan dapat tahu keputusan, insya-Allah, mungkin esok paling cepat. Kami ramai-ramai mendoakan supaya Azeem tidak berada dalam keadaan serius,” katanya.
Sementara itu, bagi acara 4x100m campuran, Danish memaklumkan Pengiran akan mengambil alih posisi Azeem sekiranya pelari berkenaan tidak dapat diturunkan.
Dalam perkembangan sama, Danish menyifatkan penampilan sulungnya di pentas Sukan Asia sebagai pengalaman berharga selepas berdepan barisan pelari terbaik Asia dalam acara 200m lelaki.
Pelari berusia 19 tahun itu berkata, jurang prestasi dengan pelari yang mencatat masa lebih baik tidak dianggap sebagai penghalang, sebaliknya menjadi motivasi untuknya terus meningkatkan kemampuan.
“Bagi saya, jurang itu memang jauh tetapi ini adalah saya lawan diri sendiri. Saya tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang negatif.
“Pelari yang sudah mempunyai prestasi dan catatan terbaik itu menjadi batu loncatan untuk saya memperbaharui keupayaan serta catatan peribadi,” katanya.
Terdahulu, Danish mencipta kejutan apabila melangkah ke final 200m lelaki selepas menamatkan separuh akhir saringan pertama di tempat keempat dengan catatan 20.76 saat (s), sebelum layak menerusi dua pelari terpantas berikutnya.
Aksi final 200m lelaki dijadual berlangsung esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




