nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor menyerahkan sepenuh kedudukannya sebagai Exco di kerajaan negeri susulan kemelut berlaku di antara parti itu dengan Perikatan Nasional (PN) sehingga gabungan parti berkenaan digantung berkuatkuasa, Rabu lalu.
Kamaruddin yang juga Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas itu berkata, beliau bekerja seperti biasa selagi tiada arahan daripada Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
“Setakat ini saya tidak mendengar sebarang perubahan dan saya akan bekerja seperti biasa selagi tiada arahan daripada Menteri Besar.
“Pelantikan Exco adalah kuasa Menteri Besar dan bergantung kepada kebijaksanaan Menteri Besar. Ini kerana apa yang bakal berlaku adalah di luar bidang kuasa saya.
“Di Kelantan saya satu-satunya Exco daripada BERSATU,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, BERSATU perlu ingat bahawa mereka berada dalam kerajaan negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu.
“Saya tidak mahu ulas panjang, itu boleh tanya kepada kerajaan negeri kerana mereka berada dalam kerajaan negeri yang dipimpin PAS,” katanya ketika mengulas berhubung penggantungan PN disebabkan aduan daripada BERSATU.
Media sebelum ini melaporkan, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengeluarkan perintah penggantungan terhadap semua aktiviti PN berkuat kuasa Rabu lalu.
Menurut RoS dalam satu kenyataan, perintah penggantungan itu dibuat mengikut Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).
Katanya, notis terbabit meminta PN memberi penjelasan berhubung aduan yang dikemukakan BERSATU kepada jabatan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




