sukan@hmetro.com.my
Nagoya: Ketiadaan dua tonggak utama, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan Danish Iftikhar Muhammad Roslee, jelas menjejaskan cabaran kuartet 4×100 meter (m) lelaki negara apabila gagal melangkah ke final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Stadium Nagoya City Mizuho Park Athletic, hari ini.
Azeem terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan ketika final acara 100m, Jumaat lalu, manakala Danish yang sepatutnya turut berada dalam kuartet itu menarik diri pada saat akhir selepas mengalami kecederaan sebaik tamat saingan final 200m, hari ini.
Tempat kedua-dua pelari itu digantikan Mohamad Armin Zahryl Abd Latif dan Muhammad Haziq Mohd Akhir yang bergandingan bersama Pengiran Aidil Auf Hajam serta Muhammad Umaira Subri.
Kuartet negara menamatkan saringan satu di kedudukan kelima dengan catatan 39.99 saat (s), sekali gus gagal menempatkan diri ke final.
Saringan itu dimenangi China dengan catatan 38.14s, diikuti Taiwan di tempat kedua (38.80s) dan Arab Saudi ketiga (39.90s).
Mengulas persembahan kuartet negara yang dibentuk pada saat akhir, Armin berkata biarpun berdepan pelbagai cabaran, mereka tetap mampu memberikan aksi terbaik.
“Alhamdulillah, kami habiskan larian dengan baik. Itu sahaja yang boleh saya katakan.
“Kalau ada Azeem dan Danish, mungkin catatan masa boleh diperbaiki lagi, tetapi saya tetap berpuas hati dengan larian pasukan hari ini.
“Ini kuartet yang dibentuk pada saat akhir, tetapi saya berpuas hati dengan prestasi rakan sepasukan,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlumbaan.
Sementara itu, kuartet 4x100m wanita negara yang baharu dibentuk turut gagal mara ke final selepas menamatkan saringan satu di tempat kelima.
Kuartet dibarisi Nur Aishah Rofina Aling, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, Fatin Ilyana Mat Nayan dan Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka merekodkan catatan 45.24s dalam penampilan pertama mereka bersama di kejohanan antarabangsa.
China mengungguli saringan berkenaan dengan catatan 43.65s, diikuti Thailand (43.65s) dan Vietnam (44.06s).
Dalam acara 800m lelaki, Umar Osman turut gagal melangkah ke final walaupun mencipta rekod peribadi terbaik apabila menamatkan saringan satu di tempat keempat dengan catatan 1 minit 48.74s.
Nasib sama dialami atlet lompat jauh negara, Andre Anura Anuar yang tersingkir selepas sekadar menduduki tempat kelapan Kumpulan B pusingan kelayakan dengan catatan 6.49m.
© New Straits Times Press (M) Bhd




