MCR lakar sejarah jualan tiket terbanyak di SNBJ

MCR lakar sejarah jualan tiket terbanyak di SNBJ

georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) mencatat sejarah tersendiri apabila konsert My Chemical Romance (MCR) berjaya mencatat jualan tiket terbanyak iaitu 120,000 bagi dua malam berturut-turut pada 30 April dan 1 Mei 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Iliyas Jamil, bukan sahaja di Malaysia, jualan tiket tersebut sekali gus mencatatkan rekod jualan tiket tertinggi yang pernah diadakan di rantau Asia Tenggara.

“Buat pertama kali ada konsert yang berlangsung selama dua malam berturut-turut di SBNJ ini. Justeru, menjadi satu kebanggaan kerana kami tidak pernah adakan malam kedua untuk konsert besar di stadium ini.

“Saya juga diberitahu, jumlah 120,000 penonton konsert MCR ini, adalah yang terbesar di rantau ini. Kalau lihat di Singapura, Indonesia dan Thailand dan sebagainya, semua berlangsung dalam stadium tertutup.

“Cuma Malaysia sahaja ada keistimewaan ini. Ini usaha bersama semua pihak yang terbabit demi meyakinkan MCR tampil untuk malam kedua di sini,” katanya pada sesi sidang media khas konsert MCR, di SNBJ, hari ini.

Iliyas turut berbangga dengan kejayaan Hello Universe selaku penganjur tempatan yang mempunyai kredibiliti tinggi sehingga mampu merealisasikan pencapaian bersejarah berkenaan.

“Kalau ikutkan, rekod sebelum ini, kebanyakan konsert artis luar negara di stadium ini dibawakan oleh penganjur antarabangsa atau pun mereka yang mempunyai operasi di sini.

“Saya juga difahamkan, beberapa artis antarabangsa ‘A-List’ lain turut berada dalam perancangan untuk beraksi di stadium ini pada tahun hadapan.

“Setakat pertengahan tahun hadapan, sudah ada tiga persembahan berskala besar berlangsung di stadium ini. Masih ramai lagi akan singgah di negara ini bertepatan dengan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Sementara itu, Iliyas menjelaskan, sebanyak 30 peratus pembeli tiket adalah penonton luar negara sekali gus berjaya menarik sekitar 40,000 pelancong ke negara ini hanya untuk konsert ini sahaja.

“Kami percaya ini adalah sumbangan besar kepada ekonomi negara terutama dari aspek cukai hiburan, industri hotel, penerbangan, makanan, pengangkutan dan lain-lain,” katanya.

Terdahulu, MCR pernah datang ke Malaysia dalam siri jelajah The Black Parade World Tour sekitar tahun 2007 di Stadium Merdeka yang menghimpunkan lebih 10,000 peminat.

Konsert tahun depan bakal menjadi kemunculan buat pertama kali kumpulan berkenaan sejak lebih 18 tahun lalu, sekali gus membuatkan ramai penggemar tegar teruja.

Band diasaskan pada 2001 itu dibarisi Gerard Way selaku vokalis; Ray Toro (gitar); Frank Iero (gitar) dan Mikey Way (bass).

Mereka dikenali dengan lagu Welcome to The Black Parade, Helena, I Don’t Love You dan I’m Not Okay.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top