Steven Sim kenang jasa Dr. Kamal, beri kata semangat hadapi ujian

Steven Sim kenang jasa Dr. Kamal, beri kata semangat hadapi ujian

GEORGE TOWN : Di sebalik kesibukan tugasnya sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong tetap tidak pernah melupakan jasa bekas pensyarahnya semasa berada di Universiti Malaya (UM), suatu ketika dahulu.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu berkata, baru-baru ini, beliau sempat berkunjung ke rumah bekas pensyarah tersebut iaitu Dr. Ahmad Kamal Ariffin Mohd. Rus atau lebih mesra disapa sebagai Dr. Kamal yang mengalami masalah penglihatan.

Menurut Steven, beliau bersyukur kerana keadaan Dr. Kamal kini stabil selepas lapan hari berada di hospital untuk menjalani prosedur pembedahan bagi membuang ketumbuhan kanser.

“Sebenarnya ada lagi rawatan yang Dr. Kamal kena jalani. Tapi, Dr. Kamal kuat semangat, dia minta nak balik rumah juga. Jadi, saya sempat ‘mai’ (datang) ziarah Dr. Kamal di rumah. Syukur, tengok muka dia tenang saja, hati saya pun rasa tenang,” katanya menerusi satu hantaran dalam laman Facebook, hari ini.

Jelas Steven, beliau mengenali Dr. Kamal sejak lebih 20 tahun yang lalu dan ketika berada di UM, beliau sering menjadi ‘mata’ kepada bekas pensyarahnya itu dengan membacakan buku semasa Dr. Kamal sedang membuat tesis di peringkat doktor falsafah atau PhD.

“Sebab itulah saya janji, apabila Dr. Kamal sembuh nanti, saya akan ‘mai’ bacakan buku Hang Tuah pula yang saya tulis. Macam 20 tahun dulu. Tapi, untuk sekarang, Dr. Kamal rehatlah dahulu,” katanya.

Steven berkata, ketika sedang rancak bersembang, isteri kepada Dr. Kamal yang disapa sebagai Kak Ana pula muncul dan mengajaknya untuk makan tengah hari bersama.

“Saya tak boleh tipu, dua kali saya tambah (nasi). Sempat juga saya melawak dengan Dr. Kamal. Lepas ini, kalau saya ‘mai’ lagi, saya kena tunaikan dua janji pula. Satu bacakan buku untuk Dr. Kamal, satu lagi rasa makanan Kak Ana lagi,” katanya berseloroh.

Tambah Steven, niat beliau melawat bekas pensyarahnya itu bertujuan untuk memberi kata-kata semangat kepada tokoh akademik tersebut yang banyak mendidik anak-anak di UM sehingga menjadi orang yang hebat.

“Tapi, saya tengok dia masih tabah walaupun sedang diuji. Saya rasa sangat kerdil nak dibandingkan ujian yang dihadapi Dr. Kamal ketika ini.

“Dr. Kamal, jangan risau. Kami semua ada dengan Dr. Kamal dan sentiasa mendoakan Dr. Kamal. Nanti saya ‘mai’ lagi. Kali ini bukan bawa buku Hang Tuah sahaja, tapi, bawa semangat Hang Tuah sekali—semangat juang, semangat yang tak pernah mengalah,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top