khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan beliau akan membentangkan kepada Kabinet mengenai garis masa yang sesuai untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan dan penjualan rokok elektronik atau vape.
Beliau berkata, pihaknya akan sentiasa menilai perkara itu terlebih dahulu, selain mendapatkan pandangan atau cadangan daripada pakar sebelum langkah selanjutnya diambil.
“Kita akan terus menilai dan bila pakar cadangkan kepada kementerian dan menteri ….saya akan bentangkan kepada Kabinet,” katanya pada sidang media selepas Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) Peringkat Kebangsaan di Setapak, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai garis masa kerajaan untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan rokok elektronik atau vape.
Dzulkefly berkata, pengharaman sepenuhnya penggunaan rokok elektronik atau vape itu memerlukan masa serta ia perlu dilaksanakan secara teliti dan bukannya tergopoh-gapah.
Menurutnya, perkara itu perlu mengambil kira pelbagai aspek seperti kesan perundangan dan kesihatan awam.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sehingga kini sebanyak 281,381 premis telah diperiksa dalam pelaksanaan Ops Selamat PaPa sehingga kini.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 459 kertas siasatan telah dibuka.
“Sebanyak 340 kertas siasatan dibuka bagi kesalahan mengikut Seksyen 7. Seksyen 7 ini berkait dengan larangan pengiklanan produk merokok.
“Sebanyak 68 kertas siasatan dibuka bagi kesalahan mengikut Seksyen 14. Seksyen 14 ini berkait menjual produk merokok tidak mengikut harga dan syarat-syarat ditetapkan.
“Dan ketiga, sebanyak 51 kertas siasatan telah dibuka bagi kesalahan di bawah Seksyen 15 yang merupakan hal terkait dengan pengimportan, pengilangan dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Dzulkefly menyatakan pihaknya berterima kasih dan menyambut baik komitmen kerajaan Madani untuk memperkukuh sektor kesihatan negara melalui peruntukan sebanyak RM40 bilion dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Menurutnya, jumlah itu juga melibatkan pertambahan sebanyak 31.6 peratus berbanding peruntukan di dalam RMK12.
“Kerajaan Madani komited untuk membina sistem kesihatan yang lebih mampan, adil dan berdaya tahan. Tekad ini diterjemahkan melalui tonggak strategi reformasi kesihatan yang merangkumi lima strategi utama,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




