Bruno Fernandes ke Al-Nassr?

Bruno Fernandes ke Al-Nassr?

Riyadh: Belum reda khabar angin perpindahan mega ke Arab Saudi sebelum ini, nama ketua pasukan Manchester United, Bruno Fernandes kembali hangat dikaitan bakal mengikut jejak langkah Cristiano Ronaldo ke Liga Pro Saudi.

Terbaharu, giliran Al-Nassr pula dilapor sedang ‘memancing’ pemain tengah Portugal itu dengan tawaran lumayan selepas Al-Hilal pernah menyuarakan bidaan lumayan bernilai RM1.13 bilion sebelum ini.

Namun ketika itu, Fernandes menolak atas permintaan pengendali United, Ruben Amorim yang mahu mengekalkan khidmat pemain utamanya itu demi cabaran di peringkat tertinggi Eropah.

Kini, menurut laporan akhbar Portugal A Bola, Al-Nassr kelab yang diterajui Cristiano Ronaldo mahu menghidupkan semula kerjasama bintang Portugal itu dengan pengendali baharu mereka, Jorge Jesus yang pernah memberi Fernandes debut bersama Sporting Lisbon pada 2017.

Andai perpindahan ini menjadi kenyataan, Fernandes bakal membentuk ‘skuad Portugal mini’ bersama Ronaldo, Otavio dan Joao Felix, yang baru sahaja menyertai Al-Nassr minggu ini selepas yuran perpindahan awal RM147 juta dibayar kepada Chelsea dengan nilai boleh meningkat sehingga RM243 juta.

Apa yang menarik, desas-desus ini timbul hanya dua minggu sebelum aksi sulung United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Arsenal.

Fernandes sebelum ini sudah memberi bayangan untuk kekal di Old Trafford, malah menegaskan,”Saya mahu kekal di tahap tertinggi. Amorim minta saya teruskan di sini dan United tak nak jual saya. Mereka tak perlukan duit,” katanya.

Musim lalu, United berdepan kempen paling mengecewakan dalam era EPL apabila sekadar menamatkan saingan di tangga ke-15, selain tewas 0-1 kepada Tottenham dalam final Liga Europa.

Jika Fernandes benar-benar angkat kaki ke Saudi, ia bakal menjadi tamparan hebat buat Amorim dan peminat The Red Devils menjelang musim baharu yang penuh tekanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top