am@hmetro.com.my
Kuantan: Cubaan tiga lelaki termasuk dua warga asing membuang sisa pertanian dalam kawasan Hutan Simpan Sungai Terla, Kuala Terla, Cameron Highlands, kelmarin mengundang padah apabila mereka diberkas pihak berkuasa.
Unit Tindakan Khas Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands bertindak tegas menahan individu berusia antara 28 hingga 39 tahun yang menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux berwarna putih membawa bersama muatan sisa pertanian.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Zainuddin Jamaluddin berkata, selepas melakukan rondaan kawasan panas Hutan Simpan Sungai Terla, Unit Tindakan Khas berjaya mengesan kenderaan pacuan empat roda terbabit bersama tiga individu dan mereka diberkas kira-kira 6.30 petang.
Menurutnya, tujuan mereka memasuki Hutan Simpan Sungai Terla semata-mata untuk membuang sisa pertanian di kawasan curam tebing Sungai Terla sedangkan mereka tidak dibenarkan berada dan melakukan sebarang aktiviti dalam hutan simpan.
“Hutan Simpan Sungai Terla menjadi antara kawasan panas aktiviti membuang sisa pertanian dan pelbagai jenis sampah, justeru rondaan dilakukan secara berjadual siang dan malam dengan harapan dapat memberkas pihak tidak bertanggungjawab.
“Hutan Simpan Sungai Terla dan Hutan Simpan Sungai Ichat, Cameron Highlands telah diwartakan sebagai kawasan tadahan air daerah berkenaan, sebarang aktiviti tidak dibenarkan dalam kawasan terbabit,” katanya, di sini hari ini.
Katanya, PHD Cameron Highlands bertindak menahan tiga individu terbabit dan menyita kenderaan yang digunakan, tiga lelaki terbabit dibawa ke Balai Polis Brinchang bagi tindakan seterusnya.
Zainuddin berkata, mereka yang terbabit akan didakwa di bawah Seksyen 47 kerana memasuki hutan simpan tanpa kebenaran dan Seksyen 83 membuang sampah di dalam hutan simpan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.
“Tindakan membuang sampah di dalam hutan simpan terutama dalam sungai mengakibatkan pencemaran
sumber air penduduk Cameron Highlands, ia turut menjejaskan imej Cameron Highlands sebagai daerah pelancongan.
“Jabatan menasihatkan orang ramai supaya bersama menjaga kebersihan sungai bagi menjamin kelestarian alam sekitar dan mengelakkan kejadian banjir akibat aliran air tersekat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



