am@hmetro.com.my
Baling: Polis memberi jaminan melakukan siasatan telus dan menyeluruh berhubung kematian pelajar lelaki yang dirempuh kereta dipandu anggota polis dalam kejadian di Guar Chempedak, Gurun, baru-baru ini.
Ketua Polis Kedah Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya amat bersimpati dan sudah menziarahi keluarga pelajar berusia 16 tahun itu, semalam.
“Saya sendiri amat kesal dan simpati dengan kejadian ini. Kita tidak akan bertolak ansur atas kecuaian ini.
“Kita akan buat siasatan secara menyeluruh tanpa kompromi, termasuk siasatan dalaman oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Taman Angkat AMANITA Kontinjen Kedah Tahun 2025 di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, di sini, hari ini.
Menurutnya, siasatan kini diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas mangsa disahkan meninggal dunia.
Katanya, anggota polis terbabit ditahan untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis, namun belum digantung tugas.
“Pihak polis akan menilai keperluan berkenaan bergantung kepada perkembangan siasatan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan pelajar cedera parah akibat dirempuh kereta dipandu anggota polis yang dikatakan melanggar isyarat lampu merah di Pekan Guar Chempedak pada Isnin lalu.
Mangsa meninggal dunia di Unit Rawatan Tapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar pada malam kelmarin selepas hampir tiga hari bertarung nyawa.
Dalam perkembangan lain, Adzli berkata, sebanyak 148,929 laporan polis berkaitan pelbagai isu diterima bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 9,426 laporan polis mempunyai unsur jenayah untuk siasatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




