Dituduh Jadi Penyondol, Bekas ‘Stylist’ Selebriti Tampil Bersuara!

Dituduh Jadi Penyondol, Bekas ‘Stylist’ Selebriti Tampil Bersuara!

Wanita yang dikaitkan sebagai punca keretakan rumah tangga selebriti popular, Syira Atiqah meluahkan rasa kecewa apabila sekali lagi menjadi mangsa tuduhan liar tanpa bukti.

Menerusi satu hantaran di Threads, wanita itu tampil mempertahankan diri selepas didakwa sebagai ‘penyondol’ dan ‘perosak rumah tangga’, dakwaan yang disifatkannya tidak berasas dan menyakitkan.

“Saya tak sangka sampai perlu bersuara begini, tapi cukuplah. Ini kali kedua saya dituduh melakukan sesuatu yang saya tidak pernah buat. Digelar penyondol, perosak rumah tangga.

“Tuduhan ini sangat berat dan menyakitkan hati. Orang terlalu cepat menghakimi, menyebarkan cerita dan mencemarkan nama saya tanpa mengetahui kebenaran.

“Apa yang paling menyedihkan, saya diam bukan sebab saya bersalah, tetapi kerana saya memilih maruah. Ya, perkara yang sama pernah berlaku dulu, dan kini berlaku lagi. Tapi diam tidak bermaksud bersalah,” katanya.

Menurut Syira lagi, dia sebenarnya memiliki bukti kukuh yang mampu membersihkan namanya, namun enggan mendedahkannya demi menjaga aib individu lain.

“Saya ada bukti, dan saya tahu kebenaran. Tapi saya takkan dedahkan kerana saya masih memilih untuk menjaga aib orang lain, walaupun aib saya tidak dijaga,” katanya tegas.

Syira juga menafikan keras dakwaan bahawa dia pernah menjalin hubungan dengan mana-mana lelaki berstatus suami orang atau menjadi punca keruntuhan rumah tangga sesiapa.

“Saya tak layan lelaki sudah berkahwin. Saya tak pernah jadi punca perpisahan sesiapa. Cuma kerana orang perlukan seseorang untuk dipersalahkan, saya pula jadi mangsa,” jelasnya.

Tidak lagi mahu terus berdiam, Syira kini bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan fitnah terhadapnya.

“Mulai sekarang, apa saja bentuk fitnah atau cubaan burukkan nama saya akan ditangani melalui saluran undang-undang. Saya sudah mula kumpulkan bukti, nama-nama dan tangkapan layar berkaitan,” katanya.

Lebih mengecewakan, katanya, apabila individu yang menuduhnya sendiri tidak mampu tampil dengan bukti sahih.

“Bila saya tanya balik pada orang yang tuduh, dia kata, ‘itu kawan-kawan saya yang cakap’. Tapi bila saya minta nama, dia kata tak nak libatkan kawan-kawan dia. Jadi, saya difitnah hanya kerana cerita dari ‘kawan’ yang tidak muncul pun,” katanya sinis.

Terdahulu, pempengaruh media sosial Elcah mendakwa rumah tangganya diganggu seorang wanita yang dikatakan cuba menggoda suaminya, Hafizzuddin Hamri atau Afi Hamri.

 

Scroll to Top