Kenyataan dua bekas pemimpin Bersatu sahkan gerakan jatuhkan Muhyiddin

Kenyataan dua bekas pemimpin Bersatu sahkan gerakan jatuhkan Muhyiddin

PETALING JAYA: Kenyataan dua bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal didakwa mengesahkan kewujudan gerakan untuk menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden parti itu.

Bekas Setiausaha Sulit kepada Presiden Bersatu, Datuk Dr. Marzuki Mohamad berkata, gerakan itu didakwa dibuat secara tidak berperlembagaan melalui naratif tertentu yang dibawa kepada ketua-ketua bahagian Bersatu.

Katanya, antara naratif yang dibawa ialah kononnya bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendapat sokongan ramai pihak, lebih banyak berbelanja dan lebih mesra berbanding pemimpin lain.

“Sebenarnya tulisan kedua-dua mereka mengesahkan apa yang saya tulis mengenai gerakan kumpulan Hamzah untuk menjatuhkan Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu secara tidak berperlembagaan.

“Seperti yang diakui oleh kedua-dua Wan, inilah naratif yang mereka jaja kepada ketua-ketua bahagian Bersatu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Marzuki berkata, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya faktor sokongan, perbelanjaan atau pendekatan peribadi mahu dijadikan pertimbangan dalam memilih pemimpin.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan pendirian Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal yang didakwa mula beralih menyokong Hamzah selepas Muhyiddin meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 2021.

“Cuma, saya hairan. Kedua-dua Wan ini telah beralih arah menyokong Hamzah sebaik sahaja Tan Sri Muhyiddin meletak jawatan sebagai perdana menteri pada tahun 2021.

“Gerakan Hamzah untuk menjatuhkan Muhyiddin pun telah bermula sejak dari itu. Sebelum itu, merekalah yang paling setia,” katanya.

Menurut Marzuki, persoalan timbul apabila kedua-dua bekas pemimpin Bersatu itu kemudian berkempen sebagai sebahagian daripada pasukan presiden ketika pemilihan parti pada 2024.

Katanya, tindakan itu menimbulkan persoalan terhadap pendirian sebenar kumpulan berkenaan kerana mereka didakwa menyokong Hamzah, namun pada masa sama berkempen menggunakan nama presiden ketika pemilihan parti.

Beliau berkata, mereka ketika itu menjelajah ke seluruh negara dengan membawa naratif bahawa pasukan tersebut mendapat mandat presiden.

“Tetapi kenapa dalam pemilihan parti pada tahun 2024 mereka berkempen sebagai pasukan presiden?

“Malah mereka menjelajah ke seluruh negara menjaja bahawa merekalah pasukan yang mendapat mandat presiden. Yang mengetuai kempen Mandat Presiden ini ialah Hamzah sendiri,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top