“Saya Tak Rasa Kena Sindir Pun” – Sophia Albarakbah Tak Rasa Kekok Terima Trofi, Ketiadaan Bella Astillah Di Sidang Media Timbul Tanda Tanya

“Saya Tak Rasa Kena Sindir Pun” – Sophia Albarakbah Tak Rasa Kekok Terima Trofi, Ketiadaan Bella Astillah Di Sidang Media Timbul Tanda Tanya

Pelakon jelita, Sophia Albarakbah, 32, tidak berkecil hati dengan kata-kata segelintir wargamaya yang mendakwa suasana antara dirinya dan penyanyi Bella Astillah ketika berada di pentas Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025) dikatakan kekok.

Menurut pelakon drama bersiri Marina itu, dia tidak melihat situasi tersebut sebagai sesuatu yang pelik, sebaliknya lebih menumpukan perhatian kepada kemenangannya apabila diumumkan sebagai Selebriti Feminin Terhangat pada malam AMT 2025.

“Bagi saya, okay sahaja, sebab saya dalam industri yang sama. Ketika itu, saya masih dalam proses memahami kenapa saya yang menang, sejujurnya, saya masih terkejut.

“Saya tak rasa kena sindir pun. Mungkin itu cara dia (Bella) sampaikan anugerah dan saya bersyukur sangat dapat penghargaan ini,” katanya.

Sophia berkongsi perkara itu kepada XTRA ketika pada sesi sidang media AMT 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), sebentar tadi.

Dalam pada itu, kelibat Bella menjadi perhatian apabila dia tidak muncul di bilik sidang media selepas memenangi kategori Selebriti Couple Goals Terhangat bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq.

Walaupun begitu, Sophia memilih untuk bersikap profesional dan tidak memanjangkan perkara yang boleh mengundang salah faham dalam kalangan peminat.

Pada Ahad, Bella menyampaikan trofi kepada Sophia pada malam kemuncak AMT 2025 mencuri perhatian ramai apabila gelagat kedua-dua selebriti itu didakwa kekok dan janggal.

Bella dilihat kurang selesa ketika mengumumkan Sophia adalah pemenang bagi kategori Selebriti Feminin Terhangat.

Sebelum ini, nama Sophia meledak selepas Bella mendakwa dia menjadi orang ketiga dalam rumah tangganya dengan bekas suami, penyanyi Aliff Aziz sekitar Januari 2023.

Bella turut memuat naik tangkap layar memaparkan aktres itu memohon maaf dan ingin memperbetulkan keadaan berkaitan dakwaan mengganggu rumah tangga pasangan itu.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 2016 dan disahkan bercerai talak satu buat kali kedua pada 13 Jun 2024.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Ayden Adrian dan Ara Adreanna.

Scroll to Top