Penyatuan ummah tidak seharusnya dihadkan kepada kerjasama PAS dan UMNO semata-mata, sebaliknya perlu diperluaskan dengan merangkul seluruh kekuatan Melayu-Islam yang menerima asas serta matlamat perjuangan bersama.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meskipun Pas dan UMNO merupakan dua kekuatan utama politik Melayu-Islam, penyatuan yang hanya melibatkan kedua-dua parti berisiko meminggirkan kelompok lain yang turut mempunyai peranan dan pengaruh dalam masyarakat.
Beliau berkata, PAS dan UMNO boleh menjadi paksi kepada agenda berkenaan, namun muafakat perlu diperluaskan demi menjaga kepentingan Melayu-Islam, kestabilan negara serta kesejahteraan seluruh rakyat.
“Penyatuan ummah tidak boleh berhenti pada penyatuan Pas dan UMNO. Kedua-duanya boleh menjadi paksi, tetapi kekuatannya hanya akan sempurna apabila muafakat diperluas, perbezaan diurus dengan hikmah dan seluruh kekuatan yang menerima asas perjuangan bersama dirangkul,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, perubahan landskap politik negara turut menuntut suatu kerangka atau gabungan politik baharu yang lebih luas, terutama ketika generasi muda kini membentuk sebahagian besar pengundi.
Katanya, golongan itu tidak semestinya terikat dengan sejarah dan percaturan politik generasi terdahulu, sebaliknya mahu melihat penyelesaian terhadap persoalan masa depan.
Menurut beliau, kerangka baharu berkenaan perlu berani menangani isu besar yang sekian lama membelenggu negara, termasuk politik perkauman melampau, kelemahan perpaduan nasional, rasuah dan salah guna kuasa serta penguasaan kartel dan kelompok berkepentingan.
Ia turut merangkumi isu keruntuhan moral dalam kalangan pemimpin, kehilangan jati diri serta pertikaian yang terus menjejaskan hubungan antara kelompok masyarakat.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, PAS dan UMNO memikul tanggungjawab besar untuk membina keyakinan bahawa penyatuan ummah bukan agenda untuk menguasai atau menafikan hak pihak lain.
Sebaliknya, katanya, penyatuan itu bertujuan membentuk kekuatan politik yang mampu memimpin dengan adil, memperkukuh kestabilan negara dan menjamin kesejahteraan seluruh rakyat.
Beliau berkata, kebimbangan sebahagian masyarakat terhadap gagasan politik berteraskan Islam tidak boleh dijawab melalui slogan semata-mata.
Sebaliknya, salah faham berkenaan perlu diperbetulkan menerusi penerangan, pendekatan dan teladan pemerintahan yang membuktikan bahawa keadilan Islam mampu melindungi hak seluruh rakyat.
“Kemenangan parti hanyalah wasilah. Matlamat lebih besar ialah membina kekuatan politik yang mampu menyatukan rakyat, menegakkan keadilan dan menawarkan masa depan negara yang lebih baik,”ujarnya.
Sumber: FB Tuan Ibrahim Tuan Man
