Kunci rezeki umi dan walid

Kunci rezeki umi dan walid

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Seri Kembangan: “Kenapa nak tanggung beban?” Demikian soalan sinis pernah diterima Noly Erma Rosli, 38, selepas dia dan suami, Mohd Hilmi Ramli, 41, sepakat mengambil Muhammad Aisy Miqael Abdul Muhaiminn, 10, kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) pelbagai sebagai anak angkat pada 2015.

Bagaimanapun, Noly Erma dan pasangannya nekad dengan keputusan mengambil Aisy selepas sehari dilahirkan ibu kandung kanak-kanak itu kerana belum dikurniakan zuriat sendiri ketika itu.

Tambahan, Norly Erma dan suaminya sangat mengimpikan cahaya mata jadi kehadiran Aisy penyeri hidup mereka selepas empat tahun tinggal berdua.

“Aisy kurniaan Allah SWT yang tak ternilai buat saya dan keluarga. Dia juga amanah Allah SWT kerana bagi nikmat iaitu gelaran umi sejak adanya dia.

“Daripada dia, saya belajar jadi ibu dan saya anggap Aisy permata dalam hidup saya. Bagi saya, Aisy pembawa rezeki kerana sebelum ada dia, ada saja yang tak cukup malah tak pernah rasa pengalaman hamil.

“Tapi Allah SWT bagi rezeki dapat anak kandung selepas empat tahun besarkan Aisy dan lapan tahun bergelar pejuang pasangan sedang cuba hamil (TTC),” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumah keluarganya dekat Taman Harmoni di sini.

Noly Erma berkata, dia pernah bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta namun berhenti ketika Aisy berumur setahun bagi memberi tumpuan menjaga anak istimewa itu.

Katanya, keputusan itu juga dibuat selepas mengambil kira keadaan Aisy yang disahkan OKU berumur tiga bulan dan mengalami lima penyakit iaitu Treacher Collins Syndrome (TCS) iaitu sejenis penyakit jarang jumpa, penyakit kromosom, obstructive sleep apnea (gangguan tidur), chronic constipation (sembelit kronik) dan kelewatan perkembangan global (GDD).

“Majikan faham tapi saya berhenti kerana bimbang pandangan orang sekeliling jika ambil banyak cuti untuk jaga anak.

“Tapi itulah pengorbanannya dan banyak saya belajar daripada Aisy hingga sedar mungkin Allah SWT tak bagi anak dulu sebab nak jaga Aisy sebelum ada zuriat sendiri.

“Saya tak salahkan qada’ dan qadar kerana apa (ujian) saya terima mematangkan saya,” katanya yang berharap dua anak kandungnya, Nur Aisya Balqis, 6 dan Muhammad Aisy Mustaqim, 5 bulan, dapat menjaga Aisy apabila dewasa kelak.

Sementara itu, Mohd Hilmi berkata, doktor sudah memaklumkan lebih awal kemungkinan keadaan Aisy yang dijangka bergelar OKU akibat komplikasi selepas dilahirkan.

Bagaimanapun, Mohd Hilmi dan isteri tetap nekad dengan keputusan mengambil Aisy sebagai anak angkat mereka yang diserahkan keluarga kandung kanak-kanak itu melalui neneknya.

“Waktu doktor beritahu, saya dengan isteri tak berbincang tapi pandang muka satu sama lain dan terus setuju nak terima Aisy kerana jika tolak, Aisy akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bermula di situlah perjalanan kami sebagai ibu bapa angkat kepada Aisy kerana sudah ikhtiar macam-macam untuk dapat anak sendiri tapi tak ada rezeki.

“Kami tak sanggup nak lepaskan kerana baru dua hari dengan Aisy, sudah sayang dan tak sanggup lepaskan,” katanya.

Menurut Mohd Hilmi, kesempatan menjaga Aisy memberi kepuasan buatnya dan isteri sejak hari pertama hingga sekarang walaupun tidak mudah serta banyak cabaran.

“Aisy bagi kami peluang dapat gelaran umi dan walid (ibu dan ayah) walaupun dia tak boleh bercakap.

“Jaga dia umpama saya dikurniakan ladang syurga dan pahala malah saya sayang Aisy macam anak sendiri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top