Cakra Khan Hadiahkan Persembahan Penuh Emosi Dalam Konsert Divine

Cakra Khan Hadiahkan Persembahan Penuh Emosi Dalam Konsert Divine

Sebuah malam penuh magis, emosi dan muzik berkualiti tinggi! Itulah yang dapat digambarkan menerusi Konsert Divine: Cakra Khan, yang berlangsung penuh gemilang di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Sabtu lalu.

Dihadiri lebih 2,500 penonton setia, konsert berdurasi tiga jam itu menyaksikan Cakra Khan mempersembahkan lebih 20 buah lagu, lengkap dengan vokal serak basah ikoniknya yang menjadi kegilaan ramai.

Lebih istimewa, pentas turut diserikan dengan penampilan artis jemputan seperti Marsha Milan, Ade Govinda, Titi DJ, dan Faizal Lubis sekali gus menyemarakkan suasana dengan kolaborasi dan momen tidak terduga.

Namun, detik paling menyentuh hati penonton hadir apabila Cakra membuka sisi peribadinya dengan mengimbau memori bersama Allahyarham bapanya, Hermena, yang menjadi tunjang utama perjalanan seninya.

“Lagu ini saya dedikasikan untuk arwah bapa saya. Walaupun ramai yang bantu saya dalam industri, pasukan, label, dan peminat tetapi beliau adalah orang pertama yang melihat potensi saya sebagai penyanyi.

“Kami pernah menunggang motosikal di kampung, mencari majlis kahwin semata-mata untuk saya menyanyi… walaupun tiada kad jemputan.

“Konsert pertama saya di tempat ini, beliau tak sempat hadir. Tapi setiap langkah saya hingga ke hari ini, saya lakukan untuknya,” katanya.

@xtra_my

Malam ni, Cakra dan Trio XL bagi suara untuk rindu yang dah lama diam iaitu lagu rindu tak bersuara ✨🎵 #xtramy #xtratonton #cakrakhan #trioxl

♬ original sound – XTRA – XTRA

Momen penuh sebak itu disusuli dengan persembahan ‘Rindu Tak Bersuara’ disampaikan bersama kumpulan TrioXL, yang juga bekas peserta program Calpis Soda One In A Million (CSOIAM), menjadikan suasana di dewan bertukar syahdu.

Tidak hanya bermain dengan emosi, Cakra turut memikat hati penonton dengan kejutan menyampaikan lagu ikonik Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, ‘Bunyi Gitar’, sebagai tanda penghormatan terhadap legenda muzik tanah air.

Menambah kehangatan malam, Marsha Milan, pemenang AJL-39, tampil memukau dengan dua buah lagu iaitu Seluruh Cinta dan Hening Rindu, manakala Ade Govinda turut tidak menghampakan dengan rangkaian lagu hits seperti Masing-Masing, Hal Hebat dan Kamu Adalah.

Pada penghujung konsertnya itu, Cakra turut memaklumkan dia bakal berehat selepas tiga tahun berturut-turut melakukan konsert solo di Kuala Lumpur bagi meneroka karya-karya muzik lebih segar.

Malam penuh emosi itu diakhiri dengan lagu ‘I Will Always Love You’ nyanyian asal Whitney Houston, sebagai tanda kasih buat peminat yang tidak pernah berhenti menyokong.

Scroll to Top