
Perdana Menteri Lithuania, Gintautas Paluckas letak jawatan susulan dakwaan urus niaga meragukan. Foto AFP
RIGA – Peletakan jawatan Perdana Menteri Lithuania, Gintautas Paluckas telah menyebabkan pembubaran seluruh Kabinet selaras dengan perlembagaan negara itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Paluckas mengumumkan keputusannya untuk berundur pada Khamis susulan dakwaan berhubung urus niaga perniagaan meragukan dan konflik kepentingan.
Beliau kini perlu secara rasmi mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada Presiden Gitanas Nauseda, yang kemudiannya mempunyai tempoh 15 hari untuk mencadangkan calon perdana menteri kepada Parlimen.
Kerajaan pimpinan Paluckas akan kekal mentadbir sehingga Kabinet baharu disahkan.
Paluckas turut meletak jawatan sebagai ketua Parti Demokrat Sosial Lithuania (LSDP).
LSDP dijangka menamakan calon pengganti Paluckas pada Rabu. – Bernama-dpa


