Suami isteri maut nahas, Ford Mustang terbabas, rempuh tiang elektrik

Suami isteri maut nahas, Ford Mustang terbabas, rempuh tiang elektrik

am@hmetro.com.my

Segamat: Suami isteri yang juga pemilik kedai emas di Pekan, Pahang maut selepas kereta dinaiki terbabas dalam nahas di Kilometer 13, Jalan Segamat-Kuantan, berhampiran simpang Felda Pemanis, hari ini.

Nahas berlaku pada jam 2 petang ketika kereta jenis Ford Mustang dipandu Mohd Izuddin Harmaini, 51, dan ditemani isteri, Nur Syamimi Rosli, 36, dalam perjalanan dari Kuantan menuju ke Segamat.

Difahamkan, ketika kejadian berlaku hujan lebat di sepanjang jalan terbabit.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, berkata kereta dipandu Mohd Izuddin dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh dua tiang elektrik.

Menurutnya, rempuhan itu menyebabkan pemandu dan penumpang kereta parah dan disahkan meninggal dunia tempat kejadian.

“Siasatan masih dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai mempunyai maklumat berhubung nahas itu boleh menghubungi balai polis berhampiran ataupun Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian, 07-9325811,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Segamat, Muhd Hazim Abd Razak, berkata kedua-dua mangsa tersepit dalam kereta terbabit dan berjaya dikeluarkan dengan peralatan khas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top