am@hmetro.com.my
Sepang: Kira-kira 100 penyokong mula berkumpul di hadapan bilik kenamaan (VVIP) di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA T1) bagi menanti keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Majoriti penyokong yang hadir dilihat memakai baju berwarna hitam dengan ramai dalam kalangan penyokong lelaki memakai baju Melayu serta songkok.
Sebahagian mereka yang membawa kain rentang turut melaungkan kata-kata sokongan ‘Daulat Tuanku’ dan ‘tangkap pengkhianat’.
Anak Tuanku Muhriz, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Datuk Seri Ali Redhauddin turut hadir bersama penyokong yang menanti ketibaan ayahandanya.
Difahamkan penerbangan membawa Tuanku Muhriz dijangka tiba di T1 KLIA jam 9.50 malam ini.
Terdahulu, satu himpunan diadakan malam ini bagi menunjukkan sokongan kepada Tuanku Muhriz susulan polemik kedudukan baginda sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Pengerusi Sekretariat Taat Setia Sokongan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, dilaporkan berkata, himpunan itu akan diadakan di Tingkat 5 KLIA bermula 8.30 malam sempena keberangkatan pulang Tuanku Muhriz.
Perhimpunan dirancang itu diadakan di tengah-tengah pertikaian mengenai kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan semakin memuncak.
Semalam, exco kerajaan negeri menyatakan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz adalah sah dan mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang Dipertuan Besar baharu.
Menurut kenyataan barisan exco, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Besar Ismail Lasim pada Isnin lalu.
Namun, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) sebelum ini menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, mendakwa tiada proses sah yang menyebabkan baginda terhenti memegang jawatan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
