‘Tiada istilah tumpu Liga Super sahaja’

‘Tiada istilah tumpu Liga Super sahaja’

PEMAIN yang beraksi dalam Liga A1 tetap berpeluang menyarung jersi Harimau Malaya jika berjaya menampilkan prestasi berkualiti dan menyerlah sepanjang saingan liga berlangsung.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Dollah Salleh menegaskan tiada sebarang diskriminasi terhadap pemain dari mana-mana liga, termasuk Liga A1.

“Tiada istilah hanya fokus kepada Liga Super. Kalau pemain itu bermain baik, tidak kira dari mana sekalipun jurulatih pasti akan pertimbangkan.

“Kalau jurulatih nampak dia layak, kenapa tidak dipanggil? Sekarang ini, Liga A1 pun semakin menyerlah, jadi saya lihat kita sudah boleh bersaing dengan Liga Super,” katanya.

Untuk rekod, skuad Harimau Malaya ketika ini majoritinya terdiri daripada pemain Liga Super selain beberapa pemain warisan yang beraksi di luar negara.

Namun, Dollah melihat trend itu boleh berubah apabila saingan Liga A1 musim ini tampil lebih kompetitif menerusi penyertaan pasukan seperti Kedah, Perak dan Kelantan yang berjaya meningkatkan mutu permainan.

Sementara itu, beliau turut menzahirkan keyakinan terhadap kemajuan Liga A1 yang disifatkan semakin hampir dengan tahap Liga Super, sekali gus membuka lebih banyak ruang buat pemain menyerlah.

“Nampak pertandingan ini makin gah dan kita tak mahu sebarang masalah timbul seperti isu gaji dalam liga semi-pro seperti ini. Biar momentum ini diteruskan kerana saya percaya ia akan jadi saingan yang menarik musim ini,” ujarnya.

Scroll to Top