Kuala Lumpur: Walau bentuk fizikal kecil, namun jiwa yang besar mampu membawa mereka melangkah jauh ke hadapan, kata pakar motivasi Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad mengenai individu berstatus orang kurang upaya (OKU) kerdil yang berjaya dalam bidang masing-masing.
Menurutnya, faktor yang mendorong kejayaan seseorang itu adalah melihat ketidaksempurnaan diri bukan kekurangan sebaliknya kelebihan.
“Individu yang ada kekurangan sama ada dari segi fizikal atau apa saja boleh berjaya, dengan mencari tara dalam masyarakat iaitu kemampuan tidak membabitkan bentuk fizikal.
“Mereka perlu sedar bakat dan keunikan masing-masing, sebagai contoh OKU kerdil boleh menjadi ‘content creator’ (pencipta kandungan), bidang kerja dalam talian, seni, penulisan, lakonan, teknikal serta sebagainya.
“Apa yang penting adalah sokongan positif daripada orang sekeliling. Kekurangan fizikal tidak menghalang golongan terbabit untuk berjaya dalam bidang tertentu,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, sistem sokongan daripada individu mempunyai sifat yang sama iaitu kumpulan atau pertubuhan bukan kerajaan berkaitan amat penting dalam mendorong kejayaan mereka.
Beliau turut menggalakkan golongan itu mencari ikon atau model ikutan yang sudah berjaya sebagai pendorong dan pembakar semangat.
“Apa jua kekurangan yang ada seperti kerdil, pastinya mereka bukan orang pertama di dunia yang mempunyai sifat begitu.
“Kita boleh lihat siapa sebelum ini sama ada hidup atau meninggal dunia yang sudah mencipta kejayaan sebagai ikon atau idola, daripada itu kita dapat mengubah cara fikir.
“Ia bukan mengenai kecil atau besar fizikal tetapi jiwa kita. Saya beri contoh kapal dan perahu apabila ombak kuat, perahu akan terumbang-ambing tapi sebaliknya kapal kerana besar. Begitu juga apabila jiwa besar walaupun badai melanda, tetap teguh,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd