mhafis@mediprima.com.my
Kuala Lumpur: Suspek lelaki berusia 56 tahun yang disyaki menikam anggota polis sehingga parah ketika menjalankan tugas rondaan cegah jenayah di Pasar Pudu, Jalan Yew, di sini, akan didakwa esok.
Lelaki itu, akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur jam 9 pagi.
Harian Metro sebelum ini melaporkan suspek yang menikam anggota polis sehingga parah ketika menjalankan tugas rondaan cegah jenayah di Pasar Pudu, Jalan Yew, di sini, ditahan bagi membantu siasatan.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad dilaporkan berkata, pemeriksaan lanjut terhadap suspek berusia 56 tahun menemui sebilah pisau.
“Turut dirampas tiga paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan disyaki dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307/186 Kanun Keseksaan kerana suspek dengan sengaja cuba membunuh menggunakan senjata serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.
Mohamed Usuf Jan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama empat anggota polis lain sedang menjalankan pemeriksaan ke atas suspek.
© New Straits Times Press (M) Bhd




