Kaherah: Menantu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, merangkap utusan khas, Jared Kushner, bertemu pemimpin baharu Hamas di Mesir pada Ahad dalam usaha menghidupkan semula pelan damai Gaza yang ditolak Israel, menurut sumber yang mengetahui rundingan berkenaan kepada AFP.
Dua minggu selepas Hamas menyokong fasa terbaharu pelan Gaza Trump dengan menyatakan kesediaan menyerahkan senjata kepada jawatankuasa pentadbiran baharu, Kushner mendesak supaya pelucutan senjata itu dapat disahkan, antara tuntutan utama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Kushner menggesa “langkah konkrit dan boleh disahkan” serta menyampaikan mesej bahawa “Gaza tidak boleh lagi menjadi sumber keganasan terhadap Israel,” menurut seorang sumber yang enggan dikenali kerana sensitiviti rundingan berkenaan.
Ketua Hamas, Khalil al-Hayya, turut menyertai perbincangan di bandar peranginan El-Alamein di pesisir Mediterranean, Mesir, sekali gus menjadi lawatan pertamanya sejak mengambil alih kepimpinan kumpulan itu pada Julai lalu.
Tidak lama selepas menerajui Hamas, al-Hayya menyokong pelan hala tuju pelucutan senjata berkenaan, langkah yang dipercayai sesetengah pemerhati sebagai taktikal kerana menyedari Israel akan menolaknya.
Dalam rundingan dengan Kushner, Hamas sekali lagi menyatakan komitmennya terhadap pelan itu, menurut seorang lagi sumber yang mengetahui perbincangan berkenaan.
Selepas rundingan, kumpulan itu berkata mereka menggesa pengantara dan apa yang dipanggil Lembaga Keamanan Trump supaya “memaksa” Israel untuk “meluluskan pelan hala tuju itu… dan mula menetapkan jadual pelaksanaannya.”
Gambar yang dikeluarkan Mesir sebagai tuan rumah tidak memaparkan al-Hayya, namun menunjukkan Kushner duduk di meja bersama anggota Lembaga Keamanan, termasuk bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair. Qatar dan Turkiye, yang menjadi pengantara utama bersama Mesir, turut menyertai rundingan itu.
Amerika Syarikat selama bertahun-tahun enggan berhubung dengan Hamas, yang diklasifikasikan sebagai pertubuhan pengganas oleh Washington dan mengetuai serangan 7 Oktober 2023 terhadap Israel yang mencetuskan perang di Gaza.
Bagaimanapun, pentadbiran Trump semakin selesa mengadakan hubungan secara langsung dengan Hamas dalam usaha menamatkan konflik dahsyat itu, termasuk merundingkan perjanjian gencatan senjata Oktober yang membawa kepada pembebasan tebusan Israel yang masih ditahan.
Kushner dijadual bertemu Netanyahu pada Isnin.
Netanyahu yang berhaluan keras itu kini berdepan persaingan sengit dalam pilihan raya semula pada Oktober.
Negara Islam desak Israel
Tiga negara pengantara serantau bersama lima negara Islam lain – Jordan, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Pakistan dan Indonesia – pada Ahad mengecam penolakan Israel terhadap pelan berkenaan.
Dalam kenyataan bersama, mereka berkata “Israel memikul tanggungjawab secara langsung dan sepenuhnya” kerana menghalang usaha damai, sambil menambah penolakan itu “secara langsung mengancam untuk menggagalkan usaha besar-besaran” yang diterajui Trump.
Sebagai tindak balas, Parti Likud pimpinan Netanyahu mendakwa “negara-negara Arab mahu menjatuhkan perdana menteri” dalam pilihan raya itu.
Penyertaan UAE penting kerana negara itu menormalkan hubungan dengan Israel lima tahun lalu, sekali gus mencetuskan hubungan ekonomi dan strategik yang dianggap Netanyahu sebagai antara pencapaian utamanya.
Netanyahu menyatakan tentangan terhadap pelan AS itu walaupun selepas diberi jaminan oleh Nickolay Mladenov, wakil kanan Lembaga Keamanan bagi Gaza, bahawa Israel tidak perlu mengundurkan tenteranya dari wilayah yang musnah akibat perang itu sehingga Hamas melucutkan senjata sepenuhnya.
Lembaga itu pada mulanya menyatakan Israel akan memulakan pengunduran secara berperingkat seiring dengan proses pelucutan senjata Hamas.
Israel terus lancarkan serangan
Israel kembali melancarkan serangan udara di Gaza selepas tempoh reda susulan usaha Trump mempromosikan pelan damai berkenaan, walaupun gencatan senjata Oktober
tidak pernah menghentikan sepenuhnya keganasan di Semenanjung Gaza.
Beberapa orang cedera pada Ahad selepas pesawat Israel menyasarkan sebuah rumah di barat Nuseirat, menurut Mahmoud Bassal, jurucakap agensi pertahanan awam Gaza yang berfungsi sebagai pasukan penyelamat di bawah pentadbiran Hamas.
Tentera Israel berkata mereka bertindak balas terhadap ancaman daripada anggota Jihad Islam dan mendakwa telah berusaha mengurangkan korban orang awam.
“Pengganas melancarkan serangan keganasan dan disasarkan dalam serangan udara tepat bagi menghapuskan ancaman itu,” katanya.
Beberapa lagi orang cedera selepas tentera Israel melepaskan tembakan ke arah khemah yang menempatkan penduduk kehilangan tempat tinggal di barat Khan Yunis. Di kawasan sama, mayat seorang kanak-kanak, Suhail Shallouf, ditemukan selepas dia terbunuh akibat tembakan Israel pada Sabtu, menurut agensi pertahanan awam berkenaan.
Operasi Israel telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,262 rakyat Palestin sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober, menurut angka Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas.
Angka berkenaan dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Tentera Israel pula melaporkan lima anggota mereka terbunuh dalam tempoh yang sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd

