yusri.muzamir@bh.com.my
Kuala Lumpur: Sejarah Asia wajar dihayati serta dihargai dengan lebih mendalam, tanpa dipengaruhi naratif kolonial, tegas Perdana Menteri. Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sambil mengetengahkan sejarah Tipu Sultan dan Haider Ali, beliau berkata, sumbangan dua tokoh dari era Kesultanan Mysore itu menyerlahkan kepentingan memahami sejarah daripada perspektif pemimpin tempatan dan serantau, bukan semata-mata melalui catatan Barat.
Beliau juga menyifatkan ketokohan pasangan anak dan bapa itu menentang perluasan penjajahan British sebagai lambang keberanian, ilmu pengetahuan dan sifat toleransi.
Katanya, Malaysia kurang mengenali sejarah Tipu Sultan dan Haider Ali, namun ia mampu ditangani melalui pameran paling komprehensif sebagai penghormatan kepada dua tokoh sejarah di Muzium Kesenian Islam di sini.
“Sejarah tidak semestinya bersifat adil. Sarjana kita, Syed Hussein Alatas, menekankan keperluan membina semula sejarah yang tidak hanya ditulis oleh pihak yang menang mahupun daripada sudut pandang penjajahan kolonial.
“Sejarah Malaysia misalnya, sama seperti sejarah (negara) lain, sentiasa ditulis daripada perspektif British, iaitu penjajahan kolonial Barat.
“Memang ada banyak penulisan akademik, termasuk oleh Edward Said mengenai Orientalisme, namun cara, keseluruhan disiplin sejarah, budaya dan masyarakat masih didominasi pandangan tertentu dari Barat,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika merasmikan pameran Ngauman Harimau Mysore Warisan Hader Ali dan Tipu Sultan di sini, malam ini.
Yang turut hadir, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengerusi Yayasan Al-Bukhari, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.
Dalam pada itu, Anwar turut berkongsi pengalaman beliau melawat wilayah peninggalan Mysore sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri.
Beliau mengimbau kekaguman terhadap seni bina istana Tipu Sultan yang sangat sederhana, selain usaha tokoh itu memelihara dan menghormati kuil Hindu, termasuk kuil purba di Mysore.
Ahli Parlimen Tambun itu turut memuji pandangan jauh Tipu Sultan menguasai teknologi ketenteraan untuk menghadapi kuasa kolonial, sambil merujuk meriam dan senjata api Kesultanan Mysore yang terkenal hingga mengejutkan British ketika peringkat awal peperangan.
“Ini bukan sekadar pameran biasa tetapi menonjolkan sejarah India dan dunia Islam serta sejarah perjuangan anti-penjajahan menentang kuasa kolonial, terutama penjajahan British.
“Kemahiran diplomasi beliau dan beberapa kesultanan, masyarakat Muslim dan Hindu di India serta langkah diplomasi antarabangsa, terutama ketika memujuk pasukan Perancis menyokong perjuangan menentang British,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




