Kuala Lumpur: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, beliau tidak mengetahui mengapa syarikat itu menggugurkan namanya sebagai defendan dalam saman sivil sebanyak AS$5.64 bilion.
Ketika memberikan keterangan sebagai saksi plaintif keempat pada prosiding hari ini, Shahrol Azral, 56, berkata, beliau tidak pernah membuat sebarang perjanjian dengan kerajaan untuk digugurkan daripada saman berkenaan dan tidak pernah diberikan sebarang penjelasan di sebalik keputusan itu.
Beliau berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam G.K. Ganesan, yang mewakili bekas pengarah pelaburan 1MDB Kelvin Tan Kay Jin, iaitu defendan ketujuh dalam saman itu.
Ganesan: Adakah kamu pada asalnya turut dinamakan sebagai defendan dalam saman ini?
Shahrol Azral: Benar.
Ketika ditanya Ganesan sama ada namanya kemudian digugurkan sebagai defendan dalam saman itu, Shahrol Azral mengakuinya namun memaklumkan beliau tidak mengetahui sebab namanya digugurkan.
Ketika ditanya Ganesan sama ada beliau telah menandatangani sebarang penghakiman persetujuan dengan 1MDB susulan digugurkan sebagai defendan, Shahrol Azral mengesahkan beliau tidak pernah membuat sebarang perjanjian sedemikian dengan syarikat itu.
Shahrol Azral turut tidak bersetuju dengan cadangan peguam Nur Syafinaz Vani Abdullah, yang mewakili defendan kelima iaitu bekas pengarah pelaburan dan ketua pegawai pelaburan Vincent Beng Huat Koh, bahawa beliau cuba mengaitkan semua pihak lain sambil melepaskan dirinya daripada tanggungjawab dalam skandal berbilion ringgit yang membabitkan dana kekayaan negara itu.
Terdahulu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili defendan pertama Datuk Seri Najib Tun Razak, memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan memerlukan tempoh empat hari untuk menjalankan pemeriksaan balas terhadap Shahrol Azral.
Peguam yang mewakili defendan lain pula memaklumkan masing-masing memerlukan sekurang-kurangnya dua jam untuk menjalankan pemeriksaan balas itu.
Mahkamah kemudian meneruskan prosiding dengan pemeriksaan balas terhadap Shahrol Azral oleh peguam yang mewakili defendan lain.
1MDB dan anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited serta Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) telah memfailkan saman itu pada 7 Mei 2021.
1MDB dan kesemua anak syarikat itu menamakan Najib, bekas Pengarah Kewangan 1MDB Terrence Geh Choh Heng, bekas Pengarah Eksekutif Casey Tang Keng Chee, bekas penasihat undang-undang Jasmine Loo Ai Swan, Vincent Beng, bekas ketua pegawai kewangan Radhi Mohamad, Kelvin Tan serta bekas ketua pegawai pelaburan Nik Faisal Ariff Kamil sebagai defendan.
Minggu lalu, 1MDB bersetuju menghentikan saman sivil terhadap Radhi tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula. Sebelum itu, 1MDB turut menggugurkan nama Jasmine daripada saman itu.
Writ saman itu antara lain mendakwa plaintif telah menuduh defendan melakukan pecah amanah, melanggar kewajipan statutori, menyalahgunakan kuasa dan berkonspirasi untuk menyeleweng dana 1MDB.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus bersambung esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd


