am@hmetro.com.my
Melaka: Polis semalam menahan seorang lelaki berusia 41 tahun kerana disyaki merogol anak perempuan kandungnya sejak 10 tahun lalu di rumah mereka di Melaka Tengah dekat sini.
Menurut sumber, kejadian itu terbongkar apabila mangsa yang kini berusia 18 tahun menceritakan perlakuan jijik si bapa kepada ibunya semasa berada di rumah, kira-kira 10 malam, 2 Ogos lalu.
Katanya, sebelum ini, pengadu yang juga suri rumah ada mengesyaki suspek, namun tiada bukti.
“Mangsa yang juga anak sulung dan bekerja sebagai jurujual emas memberitahu pengadu bahawa dia dirogol oleh suspek di rumah mereka sejak berusia lapan tahun dengan kejadian terbaharu pada awal bulan ini.
“Anak-anak yang lain juga memberitahu ibu mereka bahawa suspek juga pernah cuba untuk membuat perkara yang sama terhadap mereka.
“Suspek juga selalu memukul anak-anak pengadu sehingga menyebabkan luka parah tetapi pengadu tiada membuat laporan polis kerana di ugut oleh suspek supaya tidak beritahu sesiapa,” katanya kepada media, hari ini.
Sumber berkata, pengadu kemudian melarikan diri bersama semua anak ke Kuala Lumpur dengan bantuan abangnya, kira-kira 12.30 tengah malam, 3 Ogos lalu.
“Pengadu kemudian datang membuat laporan kejadian ke Balai Polis Tiang Dua bagi tujuan membawa anaknya menjalani pemeriksaan di hospital.
“Susulan aduan polis melakukan siasatan lanjut sebelum menahan suspek yang juga seorang mekanik,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Polis negeri, Datuk Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes dan penahanan suspek.
Katanya, suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 11 Ogos depan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana sumbang mahram.
© New Straits Times Press (M) Bhd