“Zara Patut Masih Hidup!” – Mimi Lana Tampil Tegas Tuntut Keadilan, Kecam Pembuli Yang Masih Bebas

“Zara Patut Masih Hidup!” – Mimi Lana Tampil Tegas Tuntut Keadilan, Kecam Pembuli Yang Masih Bebas

“Budaya buli bukan perkara kecil. Ia bunuh jiwa, bunuh harapan… dan kali ini, ia bunuh nyawa.”

Demikian luahan tegas pelakon Mimi Lana yang tampil mengecam insiden menyayat hati membabitkan kematian pelajar sekolah agama, Zara Qairina Mahathir, 13, yang didakwa menjadi mangsa buli berulang kali hingga membawa kepada tragedi.

Menerusi satu perkongsian penuh emosi di Instagram, Mimi atau nama lengkapnya, Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 30, menuntut pihak berwajib agar segera bertindak dan menegakkan keadilan buat arwah.

“Kita perlu keadilan untuk adik Zara, SEKARANG! Dia dah minta tolong, dia dah sebut nama pembuli-pembuli yang seksa dia secara fizikal dan mental. Tapi suara dia langsung tak didengar… sehinggalah dia pergi,” tulisnya.

Menurut Mimi, apa juga punca sebenar kematian mangsa, fakta paling jelas ialah arwah telah dibuli dan ‘jeritan’nya

“Sama ada dia dibunuh atau tidak, FAKTANYA dia dibuli! Dan pembuli-pembuli itu masih bebas di luar sana! Apa lagi kita tunggu? Nak tunggu ada lagi nyawa budak lain melayang baru nak buka mata?,” soalnya.

Isteri kepada aktor terkenal, Syafiq Kyle itu turut menyelar sikap segelintir ibu bapa yang melindungi anak mereka walaupun mengetahui anak mereka adalah pembuli.

“Ibu bapa yang lindungi anak walaupun tahu mereka pembuli… kamu sedang rosakkan masa depan anak kamu sendiri! Kita tak boleh diam lagi. Ini dah jadi barah dalam masyarakat,” luahnya.

Mimi menegaskan budaya buli tidak harus dianggap sebagai isu biasa, sebaliknya satu jenayah yang perlu dihentikan segera.

“Zara patut masih hidup. Tapi sistem gagal lindungi dia. Sekarang, sistem perlu dibetulkan semula. Tunjukkan muka-muka pembuli yang dia sebut. Tunjukkan siapa yang biarkan semua ini berlaku. Keadilan mesti ditegakkan!,” tulisnya.

Di akhir kenyataannya, Mimi turut menitipkan doa buat arwah Zara dan keluarganya.

“Ya Allah… tempatkanlah adik Zara di syurga tertinggi-Mu. Tenangkan hati ibu bapanya, dan berikan kekuatan kepada seluruh keluarga. Amin,” katanya.

Scroll to Top