GISSCO anjur Gala Jubli Emas, hargai warga kerja dan rakan strategik

GISSCO anjur Gala Jubli Emas, hargai warga kerja dan rakan strategik

GISSCO Sdn Bhd (GISSCO) bakal menganjurkan Majlis Gala Jubli Emas ke-50 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 bertempat di sebuah hotel terkemuka pada 15 September depan.

Majlis yang dijangka menghimpunkan lebih 400 tetamu terdiri daripada pemegang taruh, rakan industri, warga kerja serta wakil media itu bukan sahaja meraikan lima dekad pencapaian GISSCO, malah menzahirkan penghargaan syarikat terhadap individu yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan syarikat sejak penubuhannya pada tahun 1975.

Menurut Pengarah GISSCO, Umaira Mohammad Rashid, kejayaan dianugerahkan Lesen Petronas 001 bukan sekadar satu keistimewaan, malah merupakan satu legasi.

“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan strategik, khususnya Petronas, atas kepercayaan berterusan terhadap GISSCO selama ini.

“Sejarah penubuhan GISSCO pada tahun 1975 bermula dengan tekad dan kerja keras pengasasnya, Allahyarham Haji Mohammad Rashid Haji Mohd Fahmi yang tidak pernah kenal erti putus asa, berjuang demi kelangsungan syarikat di tengah cabaran industri,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Umaira, keazaman tersebut menjadi asas kekuatan GISSCO sehingga berkembang menjadi antara penyedia utama tenaga kerja mahir, perkhidmatan teknikal dan penyelesaian inovatif dalam sektor minyak dan gas negara.

Beliau turut mengakui bahawa untuk terus kekal relevan dalam dunia digital dan landskap industri yang amat kompetitif bukanlah satu tugas mudah.

“GISSCO mampu bertahan dan terus berkembang kerana asas kami ialah kerja berpasukan yang kukuh. Ini adalah kejayaan bersama daripada staf lapangan hingga kepimpinan pengurusan,” katanya.

Beliau turut berharap pengiktirafan ini dapat membakar semangat generasi usahawan Bumiputera akan datang untuk terus menerajui sektor strategik negara dengan penuh jati diri dan integriti.

Sementara itu, Pengarah Urusan GISSCO, Mohammad Khoirul Kamal Mohammad Rashid berkata, resipi kejayaan syarikat pada hari ini adalah hasil tunjuk ajar dan pesanan berharga arwah bapanya, Allahyarham Mohammad Rashid.

“Allahyarham berpesan agar sentiasa jujur dalam urusan perniagaan, tidak mengamalkan riba serta tidak mengabaikan kebajikan pekerja.

“Hingga ke hari ini, kita tidak pernah lewat membayar gaji pekerja walaupun sehari,” katanya.

Kemuncak acara adalah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 yang mengiktiraf kesetiaan dan dedikasi warga kerja dari cawangan GISSCO di Miri, Kemaman, Labuan dan ibu pejabat di Kuala Lumpur yang telah memperkukuh asas kejayaan GISSCO sejak dahulu hingga kini.

Majlis turut akan disemarakkan dengan persembahan artis popular negara dan dijangka dirasmikan oleh seorang tetamu kehormat berprofil tinggi yang mewakili kepimpinan negara dalam sektor ekonomi dan korporat.

Lebih daripada sekadar sambutan, Gala Jubli Emas GISSCO adalah lambang perjalanan luar biasa sebuah syarikat 100 peratus milik bumiputera yang kini bersedia melangkah ke fasa baharu yang lebih dinamik dengan komitmen terhadap kecemerlangan, integriti dan kebanggaan nasional.

Scroll to Top