'Zara Qairina suka mengaji, solat tak pernah tinggal' – Ustazah

'Zara Qairina suka mengaji, solat tak pernah tinggal' – Ustazah

am@hmetro.com.my

Sipitang: “Sangat ceria, ramai kawan dan anak yang baik,” itu gambaran ustazah Sekolah Agama Negeri (SAN) Kampung Naluyan, di sini, mengenai peribadi pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.

Menurut guru berkenaan yang enggan namanya didedahkan, Allahyarham ketika bersekolah di SAN Kampung Naluyan itu juga aktif dalam kokurikulum dan pernah mewakili sekolah menyertai pertandingan bercerita kisah-kisah nabi peringkat daerah.

“Dia suka mengaji, solat tidak pernah tinggal dan disenangi semua rakan serta guru,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, di sini, semalam.

Zara Qairina bersekolah di SAN Kampung Naluyan sejak Darjah Satu hingga Enam, sebelum melangkah ke sekolah menengah tahun ini.

Katanya, arwah juga antara pelajar cemerlang akademik dan memiliki sikap hormat kepada guru serta rakan.

“Dia masuk sekolah awal ketika usianya enam tahun, tetapi cepat menyesuaikan diri dan menunjukkan minat mendalam dalam pelajaran,” katanya.

Ustazah berkenaan berkata, dia bersama beberapa guru lain di sekolah itu turut tidak terkecuali menerima kecaman susulan tularnya kes kematian Zara Qairina.

Kelmarin, penggalian semula kubur Allahyarham Zara Qairina di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol, di sini, mengambil masa lebih satu jam sebelum selesai pada kira-kira jam 7.31 malam selepas dimulakan pada jam 6.04 petang.

Peguam keluarga arwah, Hamid Ismail, ketika ditemui berkata jenazah Allahyarham Zara Qairina dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) Kota Kinabalu bagi proses bedah siasat yang akan dijalankan pada jam 9 pagi esok.

Katanya, proses penggalian kubur arwah berjalan dengan lancar dan jenazah selamat dikeluarkan sebelum dimasukkan ke kenderaan jenazah untuk dibawa ke Unit Forensik QEH.

Proses penggalian kubur Allahyarham disaksikan antaranya oleh ibu bapa Zara Qairina dan Majistret Zuraini Ali Musa dari Mahkamah Majistret Sipitang

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top