Isteri doktor, dua anak lelaki ditahan, polis rampas ganja dan pistol

Isteri doktor, dua anak lelaki ditahan, polis rampas ganja dan pistol

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Polis menahan tiga beranak termasuk seorang wanita dan merampas 35 kilogram (kg) dadah dipercayai ganja mampat selain sepucuk pistol yang membabitkan nilai lebih RM300,000 di sebuah rumah banglo di Ketereh, Selasa lalu.

Kesemua suspek iaitu seorang wanita yang juga isteri kepada doktor berusia 46 tahun dan dua anaknya berusia 23 dan 34 tahun ditahan jam 4.30 pagi.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, tiga individu berkenaan ditahan di rumah terbabit ketika serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

“Hasil pemeriksaan menemukan 35 kg dipercayai dadah ganja yang diletakkan dalam kotak dan beg selain polis turut menemukan sepucuk pistol jenis Glock berserta 16 butir peluru.

“Pada masa sama, kita turut merampas empat kenderaan termasuk BMW dan Mercedes Benz dan nilai rampasan keseluruhan termasuk dadah adalah sebanyak RM420,000,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek wanita adalah suri rumah tidak bekerja, manakala suaminya seorang doktor berusia 60-an yang mempunyai sebuah klinik tersohor di Ketereh.

“Dalam kes ini, suspek wanita mengetahui anak mereka terbabit dengan pengedaran dadah, manakala dua lagi suspek bekerja di klinik bapa mereka,” katanya.

Mohd Yusoff berkata, pihaknya akan mengambil keterangan suami suspek yang juga doktor untuk siasatan lanjut.

“Suspek mendapatkan bekalan dadah ini dipercayai dari Thailand sebelum disimpan di rumah berkenaan dan dihantar kepada pelanggan.

“Hasil ujian air kencing mendapati dua suspek lelaki positif methampethamin dan ketamin manakala suspek wanita adalah negatif,” katanya.

Katanya, ketua suspek bagi kumpulan pengedaran dadah itu sudah ditahan pada 2023 dan kini di penjara sebelum kegiatan itu diteruskan oleh suspek yang ditahan ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman tujuh hari sehingga Selasa ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top