Munajjim: Sekutu Iblis 'mengganas', pawagam teruskan tayangan minggu ketiga

Munajjim: Sekutu Iblis 'mengganas', pawagam teruskan tayangan minggu ketiga

Kuala Lumpur: Filem di inspirasi dari kisah benar Munajjim: Sekutu Iblis yang menjadi bualan ramai terus mencatat kutipan memberangsangkan.

Naskhah arahan Faizul A Rashid menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air antaranya Uqasha Senrose, Farid Kamil, Mustaqim Bahadon, Sherie Merlis, Che Puan Juliana Evans, pelakon kanak-kanak adik Aqil dan ramai lagi terus melakar sejarah tersendiri.

Selepas berada dalam senarai filem seram tempatan nombor satu, filem terbitan Yusrych Global yang sedang hangat diperkatakan ini terus mendapat sambutan ramai malah kapasiti penonton semakin meningkat dari masa ke semasa.

Penerbitnya, Yusry Makmor memaklumkan jarang sekali filem tempatan mendapat perhatian selepas minggu ketiga ditayangkan di pawagam tambahan pula apabila berdepan saingan daripada naskhah luar.

“Kami bersyukur mencatat kutipan yang menggalakkan setakat ini berkat sokongan dan kerja keras daripada seluruh pasukan.

“Kami berharap filem ini akan terus menjadi pilihan penonton ke pawagam,” katanya.

Menurutnya lagi, pihak pempamer gergasi antaranya TGV, GSC, MM2, 10 Star, MBO, Lotus serta beberapa pawagam lain telah bersetuju untuk terus menyambung penayangan di seluruh Malaysia pada minggu ketiga oleh kerana filem ini mendapat perhatian ramai.

Filem ini turut mencetus sensasi apabila di ‘banned’ daripada tayangan di Brunei hingga menimbulkan tanda tanya ramai.

Sekali gus mendorong tarikan kepada penonton menghayati sendiri jalan cerita membabitkan amalan dua beranak yang taksub dengan bomoh hingga mengundang padah apabila si anak menggunakan ilmu hitam untuk membalas dendam terhadap bekas kekasih isterinya yang mengganggu rumah tangga mereka dengan sihir.

Begitupun, ilmu hitam itu berpatah balik dan mengancam nyawa mereka sekeluarga.

Sementara itu, tinjauan di beberapa pawagam mendapati beberapa penonton turut menonton filem terbabit di pawagam lebih dari sekali dan ramai juga yang baru berpeluang untuk ke pawagam atas beberapa faktor seperti kekangan masa serta sebab lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top