128 jeti haram di Sungai Golok akan diroboh dalam masa terdekat

128 jeti haram di Sungai Golok akan diroboh dalam masa terdekat

am@hmetro.com.my

Tumpat: Polis Kelantan sudah menerima surat kebenaran untuk merobohkan 128 jeti haram di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pengkalan Kubor sehingga ke Rantau Panjang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kerja merobohkan jeti haram termasuk di tanah persendirian itu akan dimulakan dalam masa terdekat.

“Kita sudah menerima surat kebenaran daripada kerajaan negeri beberapa hari lalu untuk merobohkan 128 jeti haram yang dibina di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pengkalan Kubor hingga Rantau Panjang.

“Kerja merobohkan ini akan dimulakan dalam masa terdekat secara berperingkat dan kita harap dengan tindakan ini dapat menurunkan lagi jenayah rentas sempadan,” katanya ketika sidang media di Maskas Taktikal PGA Pengkalan Kubor, di sini, hari ini.

Mohd Yusoff berkata, kos untuk merobohkan setiap satu jeti haram itu sekitar RM1,500 hingga RM5,000 memandangkan binaannya diperbuat daripada konkrit dan dijangkakan kerja itu dapat diselesaikan dalam tahun ini.

Menurutnya lagi, kebanyakan jeti haram itu wujud sejak puluhan tahun lagi yang dijadikan lokasi pendaratan barangan seludup atau migran.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Yusoff menggesa agar dipercepatkan pembinaan tembok pagar keselamatan di sepanjang 45 kilometer (km) Sungai Golok yang di bawah kawasan tanggungjawab PGA.

“Kalau nak 100 peratus banteras aktiviti penyeludupan dan migran, perlu dipercepatkan pembinaan tembok dan pagar keselamatan, itu kaedahnya.

“Ada juga cadangan pemantauan dibuat menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan dron tapi keadaan Sungai Golok yang sempit menyukarkan kaedah itu digunakan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top