Affin Invikta iktiraf 50 wanita paling berinspirasi Malaysia

Affin Invikta iktiraf 50 wanita paling berinspirasi Malaysia

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kumpulan Affin melalui cabang perbankan premiumnya, Affin Invikta, bekerjasama dengan TOP50 Media Synergy Sdn Bhd menganjurkan Anugerah Affin Invikta Top 50 Women of Excellence 2025 bagi mengiktiraf wanita paling berinspirasi di Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, anugerah itu bukan sekadar pengiktirafan, sebaliknya satu usaha untuk yang mengangkat peranan wanita dalam membentuk masa depan negara.

Katanya, golongan wanita menjadi tulang belakang segmen perusahaan kecil dan sederahana (PKS) dan runcit kumpulan.

“Justeru, memperkasa mereka adalah tanggungjawab dan keperluan untuk memacu kemajuan negara.

“Inisiatif ini selari dengan komitmen kami terhadap ‘Responsible Banking with Impact’, berteraskan Pelan Strategik AFFIN Axelerate 2028 (AX28),” katanya pada sidang media Anugerah Top 50 Women of Excellence 2025 di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengasas dan Pengarah Urusan TOP50 Media Synergy, Kishvin Sirinavin.

Anugerah itu menghimpunkan 50 wanita cemerlang daripada pelbagai sektor termasuk kewangan, sains, keusahawanan, pendidikan, perkhidmatan awam dan seni.

Sementara itu Kishvin berkata, pencalonan dibuka sehingga 30 September ini dan boleh dibuat secara terbuka atau tanpa nama.

“Sesiapa sahaja boleh mencalonkan wanita dengan perwatakan hebat berusia 18 tahun ke atas yang telah memberi sumbangan signifikan dalam bidang masing-masing.

“Panel juri berwibawa akan menilai pencalonan berdasarkan lima kriteria utama iaitu kepemimpinan dan pengaruh, pencapaian dan kecemerlangan, sumbangan kepada masyarakat, ketabahan, etika dan perwatakan serta impak masa depan, pengaruh dan legasi,” katanya.

Beliau berkata, tahun ini juga pihaknya memperkenalkan kategori baharu, ‘Rising Star Award’, untuk menghargai pemimpin muda wanita yang sedang mencipta nama dan memberi inspirasi.

Sementara itu, proses penjurian dilaksanakan dalam tiga peringkat iaitu panel audit menapis semua pencalonan, panel juri memilih 50 calon terbaik, dan panel audit membuat semakan akhir sebelum senarai muktamad diumumkan pada majlis anugerah November depan.

Tahun lalu, penganjuran Top 30 Women of Excellence menerima hampir 300 pencalonan, dan tahun ini jumlahnya dijangka meningkat sejajar dengan skop yang lebih luas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top