“Kalau Dah Jodoh, Tak Salah Ibu Tunggal Berkahwin Dengan Lelaki Muda” – Emma Maembong 

“Kalau Dah Jodoh, Tak Salah Ibu Tunggal Berkahwin Dengan Lelaki Muda” – Emma Maembong 

Pelakon jelita, Emma Maembong berpendapat status ibu tunggal tidak menjadi penghalang untuk wanita kembali membuka pintu hati atau berkahwin dengan lelaki bujang.

Ketika ditemui media, Emma atau nama penuhnya, Fatimah Rohani Ismail, 33, berkata perkara tersebut seakan sudah menjadi kebiasaan dan tidak asing pada mata masyarakat, termasuk dalam dunia selebriti.

“Sekarang, kita boleh lihat ramai ibu tunggal berkahwin dengan lelaki bujang. Bukan setakat orang biasa, artis pun ada.

“Memang pada awalnya akan ada yang bercakap atau mengkritik, tetapi lama-kelamaan mereka akan diam,” ujarnya.

Menurut Emma, isu perkahwinan dengan wanita berusia dengan lelaki lebih muda sering kali menjadi bahan bualan, sedangkan hal jodoh tidak pernah meletakkan sempadan umur.

“Kalau lelaki tua berkahwin dengan wanita muda, orang tak kisah pun dan perkara tu jadi tak salah. Tapi bila wanita lebih tua kahwin dengan lelaki muda, terus dipandang pelik.

“Bagi saya, kalau sudah jodoh, tak ada siapa yang boleh halang. Cinta itu buta umur,” katanya lagi.

Menariknya, dalam perkembangan terbaharu, Emma kini membintangi drama terbitan Viu Malaysia berjudul Seadanya Kita mengisahkan tentang cinta berbeza usia antara seorang wanita dan lelaki lebih muda.

“Waktu teaser drama ini keluar, ramai yang kecam kononnya gandingan saya dan Mierul Aiman tidak sepadan. Sedangkan memang itulah konsep ceritanya, tentang ‘love gap’.

“Nanti bila penonton sudah tengok keseluruhan episod, mereka akan faham mesej sebenar yang ingin disampaikan,” jelasnya.

Selain Emma, drama ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Mierul Aiman, Shahz Jaszle, Nelissa Nizam, Ara Johari, Yasmin Hani, Anas Ridzuan dan Mikael Noah. Seadanya Kita boleh ditonton di platform Viu setiap Khamis dan Jumaat, jam 12 tengah hari, bermula 7 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan: “Benda Tak Elok, Tak Membanggakan Buat Apa Nak Heboh?” – Emma Maembong Pilih Privasi Soal Kisah Cinta Dengan DJ Kidd

Scroll to Top