sukan@hmetro.com.my
Kota Bharu: Pengendali Imigresen FC, Yusri Che Lah tetap memuji persembahan anak buahnya meskipun diikat Kelantan The Real Warriors (TRW) 1-1 dalam aksi Liga Super, malam tadi.
Yusri, 49 berkata, mereka mempamerkan aksi cemerlang dengan latihan singkat sekitar dua minggu sahaja.
Katanya, mereka berkeupayaan bertahan terutamanya di babak kedua selepas pasukan tempang dengan 10 pemain apabila Amirali Chegini dilayangkan kad merah.
“Saya bersyukur pemain tidak tunjuk sikap takut sebaliknya berjaya mencuba, ini mungkin titik perubahan untuk kita baiki bagi perlawanan seterusnya,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan TRW dan Imigresen FC di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu, malam tadi.
Dalam perkembangan lain, Yusri melihat laluan pasukannya berliku bagi aksi Piala FA apabila berhadapan Terengganu, Kuching City FC dan JDT.
Katanya, aksi bersama Terengganu pada 17 Ogos ini turut memberi cabaran khususnya berkaitan pemain.
\”Mereka (Terengganu) pasukan yang kuat sebab pemain tempatan bersama sejak empat hingga enam musim, tak ada isu pemain baru.
Beliau berkata, namun sekiranya anak buahnya berjaya beraksi seperti menentang TRW malam tadi, Terengganu tidak akan mendapat jalan mudah untuk menang.
© New Straits Times Press (M) Bhd