hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis membuka kertas siasatan susulan kekecohan peserta himpunan ketika penyerahan memorandum di Jalan Parlimen di sini, hari ini yang menyebabkan seorang pegawai polis cedera.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya mengesan video mengenai insiden tular di TikTok memaparkan peserta perhimpunan itu membuat provokasi dan merempuh pihak polis yang sedang bertugas mengawal keselamatan.
Menurutnya, satu laporan polis dibuat berhubung kekecohan yang berlaku semasa penyerahan memorandum berkenaan.
“Akibat daripada rempuhan yang berlaku, seorang pegawai polis mengalami kecederaan dan sudah mendapatkan rawatan.
“Satu kertas siasatan juga sudah dibuka mengikut Seksyen 353/ 427 Kanun Keseksaan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Beliau berkata, pihaknya komited memainkan peranan sebagai pemudah cara dan menghormati hak rakyat untuk menyuarakan pandangan serta berhimpun secara aman dan tertib, selaras dengan nilai demokrasi yang diamalkan di negara ini.
“Peruntukan itu adalah mengikut Perlembagaan Persekutuan dan seharusnya digunakan secara baik dan berhemah.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau kumpulan yang mencetuskan kekacauan atau provokasi melampau. Polis sentiasa komited memastikan keselamatan di sekitar Kuala Lumpur sentiasa terkawal,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




