hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Sepang: Seramai 229 pelawat asing dari pelbagai negara dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam operasi bersepadu sepanjang tempoh 24 jam.
AKPS dalam kenyataan berkata, operasi bermula semalam sehingga 7.30 pagi hari ini di Balai Ketibaan dan Pelepasan Antarabangsa Terminal 1 dan 2 KLIA itu memeriksa seramai 764 pelawat asing.
Katanya, susulan itu seramai 229 individu didapati gagal mematuhi syarat kemasukan ditetapkan dengan warga Bangladesh mencatatkan bilangan NTL tertinggi iaitu seramai 204 orang.
“Ia diikuti oleh warga India (14 orang), Sri Lanka (3), Pakistan (3), Indonesia (3), dan Kemboja (2). Daripada jumlah warga Bangladesh itu, seramai 66 orang dikesan tiba di KLIA 1 menerusi tiga penerbangan dari Dhaka pada awal pagi tadi,” katanya.
Kenyataan itu berkata, antara punca utama penolakan masuk adalah kerana mengemukakan tempahan hotel palsu, tidak memiliki tiket penerbangan pulang dan gagal membuktikan kemampuan kewangan yang mencukupi.
“Kesemua individu berkenaan dipercayai berniat menyalahgunakan kemudahan kemasukan untuk tinggal dan bekerja secara tidak sah di negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, AKPS memaklumkan pihaknya turut menggagalkan cubaan seorang lelaki warga Indonesia berusia 50-an untuk memasuki Malaysia, semalam hanya enam hari selepas dia diusir atas kesalahan sama pada 7 Ogos lalu.
Katanya, individu berkenaan sudah dihantar pulang serta merta dan turut diberi amaran keras.
“AKPS menegaskan bahawa kawalan di pintu masuk negara akan terus diperketat. Tindakan tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak, termasuk anggota yang bersekongkol, dalam cubaan membawa masuk warga asing secara haram,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
