LONDON: Manchester United tidak akan menjual Bruno Fernandes pada jendela perpindahan musim panas ini biarpun ditawarkan dengan harga tidak masuk akal.
Pendirian tegas The Red Devils itu hadir ketika Galatasaray, Atletico Madrid, Juventus dan AC Milan dilaporkan sedang mempertimbangkan tawaran untuk mendapatkan khidmat pemain tengah Portugal berusia 31 tahun berkenaan.
Galatasaray antara kelab paling serius apabila bersedia mengemukakan tawaran 42.7 juta Pound (RM234 juta), selain menawarkan Fernandes pakej gaji lumayan yang boleh menggandakan pendapatannya.
United bagaimanapun tidak berganjak dengan pendirian mereka, malah sumber kelab menyifatkan mana-mana pihak yang cuba mendapatkan Fernandes ketika ini hanya membuang masa.
Klausa pelepasan 57 juta Pound (RM313 juta) dalam kontrak Fernandes bagi kelab luar negara sudah tamat bulan lalu, sekali gus menyebabkan United berdepan tugas sukar untuk mencari pengganti setara sekiranya kapten mereka itu dilepaskan.
Fernandes masih mempunyai baki setahun dalam kontraknya bersama United dengan pilihan lanjutan setahun dan rundingan mengenai kontrak baharu dilaporkan masih berada pada peringkat awal.
Situasi itu cuba dimanfaatkan kelab yang berminat, namun Fernandes sendiri sebelum ini menegaskan kecenderungannya adalah untuk terus berbakti di Old Trafford.
“Saya boleh pergi dua tahun lalu, saya boleh pergi tiga tahun lalu, saya boleh pergi musim lalu, tetapi saya benar-benar suka berada di sini.
“Saya fikir kejayaan di kelab ini adalah sesuatu yang saya tidak mungkin dapat di kelab lain,” katanya.
Fernandes juga masih bernafsu membantu United kembali mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas memenangi Piala Carabao dan Piala FA bersama kelab itu.-AGENSI
