asyikin.mat@hmetro.com.my
Tua sebelum usia antara perkara yang mahu dielakkan lelaki kerana boleh menjejaskan penampilan mereka.
Ada yang sanggup berbelanja ribuan ringgit bagi rawatan kosmetik untuk penampilan kelihatan lebih muda.
Sedangkan ada beberapa cara boleh dilakukan untuk tujuan berkenaan tanpa membabitkan kos besar
Lima cara untuk membuatkan lelaki kelihatan lebih muda:
1. Dapatkan rehat yang cukup
Tidur mencukupi penting kepada semua orang.
Ini kerana tubuh memerlukan rehat malam bagi memperbaiki diri termasuk penghasilan kolagen yang memberi keanjalan pada kulit.
Apabila usia lelaki meningkat, kolagen mula berkurangan dengan cepat menyebabkan kulit kendur dan berkedut.
Tidur antara tujuh hingga lapan jam setiap malam untuk memberi masa tubuh pulih dan kembali segar.
Tidur yang cukup juga dapat mengurangkan mata dan wajah sembab.
Malah, kesannya (tidur mencukupi) dapat dipertingkatkan dengan produk penjagaan kulit malam.
2. Mengunjungi kedai gunting rambut
Potongan rambut gaya baharu mampu mengubah keseluruhan penampilan dan membantu lelaki kelihatan lebih muda.
Jika lelaki gemar berambut pendek, disarankan pergi ke kedai gunting rambut setiap dua hingga empat minggu bagi memastikan gaya sentiasa kemas.
Manakala, lelaki berambut panjang pula dan ingin mengekalkan gaya itu lakukan merapi rambut setiap enam hingga lapan minggu untuk kesihatan rambut yang optimum.
Rutin ke kedai gunting rambut juga adalah kaedah penjagaan diri yang bagus.
3. Merapi atau cukur misai dan janggut
Merapi atau cukur misai dan janggut boleh membuatkan lelaki kelihatan muda 10 tahun.
Ini kerana janggut yang panjang atau tidak terurus boleh membuatkan penampilan kelihatan tidak kemas dan lebih tua daripada usia.
Pastikan mencukur atau merapi misai dan janggut sekurang-kurangnya sekali seminggu untuk gaya yang lebih kemas.
Cara ini membantu kulit kekal bersih daripada minyak dan kotoran yang boleh menyebabkan wajah jerawat.
4. Gunakan krim mata
Lelaki sering mengabaikan pemakaian krim mata dalam rutin penjagaan kulit.
Sedangkan ia antara langkah paling penting untuk mengekalkan keremajaan kulit.
Kulit di sekitar mata adalah bahagian paling nipis pada tubuh yang memerlukan penjagaan khusus.
Bahagian kulit ini yang sering meregang dan kendur kerana digosok kasar akan mudah berkedut.
Oleh kerana bahagian mata antara petunjuk awal penuaan, maka pemakaian krim mata dapat memperlahankan tanda berkenaan.
5. Perbaiki postur badan
Bahu yang jatuh dan postur badan membongkok memberi penampilan tidak menarik dan kelihatan tidak bermaya.
Oleh itu, pastikan duduk tegak dan elakkan daripada membongkok untuk mendapatkan postur badan menarik.
Selain itu, ia membantu lelaki kelihatan lebih muda daripada usia sebenar.
Tip untuk perbaiki postur badan ialah melakukan regangan atau berjalan selama 10 minit selepas satu jam duduk.
© New Straits Times Press (M) Bhd




