Syed Saddiq dan Bella Astillah nikah 10 Oktober depan di Menara Merdeka Maybank

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tarikh keramat 10 Oktober depan menjadi pilihan pasangan Syed Saddiq dan Bella Astillah untuk disatukan sebagai pasangan suami isteri.

Ia sekali gus menamatkan tanda tanya kepada peminat pelakon dan penyanyi ini bersama tunangnya yang juga Ahli Parlimen Muar.

Berita gembira ini diumumkan oleh pasangan dikenali sebagai BASS ini menerusi program hiburan MeleTOP, malam ini.

Majlis pernikahan mereka akan berkonsepkan Arab atau Islamik dengan keseluruhan dekorasi serta busana berwarna putih.

Pasangan ini memaklumkan Aras 118, Menara Merdeka Maybank, di sini, bakal menjadi lokasi majlis pernikahan mereka.

Berkongsi berita gembira itu, klip video khas yang memaparkan Syed Saddiq dan Bella mengenakan busana tradisional serba putih turut ditayangkan.

Klip video itu memperlihatkan Syed Saddiq dan Bella berjalan sambil berbalas kata-kata romantis sebelum tarikh pernikahan mereka didedahkan pada penghujung video, sekaligus mencetuskan keterujaan dalam kalangan penonton.

Syed Saddiq dan Bella turut merancang menganjurkan majlis persandingan dalam bulan sama, selain bakal mengadakan beberapa majlis lain di sini, Muar dan Sabah.

Terdahulu, Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah sah bertunang dengan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam sebuah majlis sederhana yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 28 Mac lalu.

Pada 14 Julai lalu, mereka tampil berdua dalam siaran langsung buat kali pertama menerusi podcast BASScast di platform TikTok Syed Saddiq.

Menerusi sesi ini, mereka memaklumkan tarikh kahwin sudah ditetapkan dan sudah diketahui oleh keluarga terdekat dan kawan-kawan rapat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top