Kuala Lumpur: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan cuba membunuh seorang anggota polis dengan melanggarnya menggunakan kenderaan pacuan empat roda sehingga mengalami kecederaan.
Muhammad Farhan Baharudin, 34, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Koperal Mohamad Sallehin Ab Rahman, 35, sehingga mangsa mengalami kecederaan yang perbuatan itu boleh menyebabkan kematian terhadap mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di simpang keluar Lebuhraya Bertingkat Ampang–Kuala Lumpur (AKLEH) ke Jalan Tun Razak, pada 9.05 pagi, 8 Ogos mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan denda atau penjara maksimum 20 tahun jika kecederaan dilakukan, sekiranya sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Faizah Khalilah Zaberi memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Peguam Mohd Fikah Sanusi yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya hanya berpendapatan RM2,000 sebulan dan perlu menanggung isteri, seorang anak berumur enam tahun serta ayahnya yang sakit.
Hakim Izralizam Sanusi yang menetapkan sebutan kes pada 6 Okt ini membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
© New Straits Times Press (M) Bhd