Bola sepak bukan NFL – Rooney

Bola sepak bukan NFL – Rooney

London: Wayne Rooney menyifatkan kritikan pemilik minoriti Birmingham City, Tom Brady, terhadap etika kerjanya sebagai tidak adil dan berpunca daripada kurangnya pemahaman legenda NFL itu mengenai bola sepak.

Bekas kapten Manchester United dan England itu dipecat pada Januari 2024 selepas kurang tiga bulan membimbing Birmingham.

Brady, pemenang tujuh gelaran Super Bowl yang membeli saham minoriti kelab itu pada Ogos 2023, dalam sebuah dokumentari berkata beliau ‘sedikit bimbang’ dengan etika kerja Rooney selepas lawatan ke pusat latihan Blues dua bulan kemudian.

“Saya rasa Tom datang sekali sahaja, sehari sebelum perlawanan yang biasanya lebih ringan. Beliau tak benar-benar faham bola sepak. Bola sepak bukan NFL, NFL hanya beraksi tiga bulan setahun. Pemain perlukan rehat, jadi saya rasa beliau tidak adil,” kata Rooney menerusi podcast terbarunya, The Wayne Rooney Show, yang akan disiarkan di platform digital BBC.

Selepas pemergian Rooney, Birmingham melantik Tony Mowbray dan Gary Rowett pada musim 2023/24, namun tetap tersingkir ke Liga Satu.

Rooney berkata, beliau mewarisi skuad yang ‘tidak cukup berkualiti untuk memacu kelab ke depan’ ketika mengambil alih.

Namun, di bawah pemilikan Knighthead Capital, projek kebangkitan Birmingham membuahkan hasil.

Musim lalu, kelab itu melabur rekod £30 juta (RM197 juta) dalam pasaran perpindahan untuk kelab Liga Satu, sekali gus memecah rekod Liga Bola Sepak England (EFL) dengan mengutip 111 mata bagi menjulang gelaran liga.

“Saya sangat menghormati Tom Brady, beliau antara atlet terhebat sepanjang zaman. Birmingham kini nampak berada di landasan betul dan mereka berjaya menyingkirkan pemain yang perlu dikeluarkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top