am@hmetro.com.my
Seremban: Seorang pemandu e-hailing terkejut apabila kenderaannya yang ditinggalkan bersama penumpang lesap dekat sebuah stesen minyak di Bandar Ainsdale, di sini, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, lelaki warga emas berkenaan dikatakan mengambil penumpang di Taman Bukit Jed, dekat sini, sebelum singgah untuk mengisi minyak.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, ketika keluar dari tandas, pemandu berusia 61 tahun itu mendapati keretanya lesap.
“Pemandu e-hailing ini mengambil seorang penumpang lelaki berusia 22 tahun di Taman Bukit Jed untuk ke Sri Subang dekat Petaling Jaya, Selangor kira-kira 3 pagi.
“Pemandu dikatakan singgah di sebuah stesen minyak untuk mengisi minyak dan ke tandas untuk membuang air kecil,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Katanya, pemandu dipercayai meninggalkan kereta dalam keadaan enjin hidup kerana terdapat penumpang di dalamnya.
“Selepas keluar dari tandas, dia mendapati kereta tiada dan mengesyaki dibawa lari penumpang lelaki berkenaan sebelum membuat laporan polis,” katanya.
Mohamad Hatta berkata, susulan itu, pihaknya menahan seorang lelaki di Seri Subang dan menemui semula kereta berkenaan di kawasan parkir sebuah apartment.
“Kami menahan suspek kira-kira jam 12 tengah hari semalam. Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan mengaku melarikan kenderaan Toyota Vios itu.
“Alat geolokasi (GPS) yang terdapat pada kereta berkenaan membantu polis mengesan kedudukannya dan menangkap suspek serta merampas kereta untuk siasatan lanjut.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah membabitkan khianat dan curi dalam rumah di Seremban serta satu kes curi kenderaan di Sungai Way, Selangor.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. Ujian saringan urin juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd