Khairuddin Takiri ajak ahli Pas undi BN di kawasan tidak tanding

Khairuddin Takiri ajak ahli Pas undi BN di kawasan tidak tanding

SHAH ALAM – Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Khairuddin Takiri mengajak ahli-ahli Pas yang berada di kawasan selain 11 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti itu supaya memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Khairuddin berkata, sokongan tersebut adalah berasaskan semangat kerjasama demi kebajikan rakyat dan ketakwaan.

“Ahli-ahli Pas di selain 11 DUN yang Pas bertanding di Johor dijemput mengundi BN. Mengundi adalah kerjasama atas dasar kebajikan dan takwa.

“InsyaALLAH, sama-sama kita majukan Islam dan bina pembangunan rakyat di Johor,” katanya menerusi laman Facebook pada Sabtu.

Terdahulu, bagi PRN kali ini,Pas hanya mempertahankan 11 kerusi iaitu Jementah, Tenang, Maharani, Sungai Balang, Semerah, Seri Medan, Endau, Tiram, Pasir Raja, Kahang dan Simpang Jeram.

Berdasarkan perbandingan tersebut, empat kerusi yang tidak lagi ditandingi Pas ialah Pemanis, Kemelah, Tenggaroh dan Bukit Kepong, manakala Simpang Jeram merupakan kerusi baharu yang ditandingi parti itu pada pilihan raya kali ini.

Manakala BN Johor mengumumkan senarai penuh 56 calon yang akan bertanding dalam Pilihan PRN Johor ke-16, sekali gus menegaskan pendirian gabungan itu untuk bertanding secara solo tanpa sebarang kerjasama atau pembentukan kerajaan bersama parti politik lain.

Tarikh pengundian awal bagi PRN Johor pada 7 Julai dan hari pengundian pada 11 Julai selepas DUN dibubarkan pada 1 Jun lepas.

 

Scroll to Top