puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Kamal Adli meluahkan rasa syukur tidak terhingga apabila dikurniakan rezeki yang mencurah-curah dalam kerjayanya sepanjang tahun ini.
Memilih untuk terus fokus kepada kerjaya, Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, memaklumkan kehidupannya kini berada dalam keadaan sangat tenang dan membahagiakan.
“Tahun ini saya kerja sahaja. Alhamdulillah rezeki daripada Allah yang tak putus-putus,” katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.
Dalam pada itu, bapa kepada seorang cahaya mata berusia dua tahun ini turut berkongsi hubungan dengan bekas isteri, Uqasha Senrose dalam keadaan baik demi memastikan anak mereka mendapat kasih sayang yang sempurna.
“Saya sangat gembira apabila dapat luangkan masa dengan Hawra.
“Saya pun tidak ada masalah dengan Uqasha, kami berdua baik-baik sahaja. Kami sangat seronok menjalani ‘co-parenting’ sekarang,” katanya.
Ditanya mengenai kekuatan dalaman yang membuatkan dirinya terus bangkit dan cekal mendepani hari-hari mendatang, Kamal mengakui sumber kekuatannya itu datang dari puteri kesayangannya, Hawra Uqaira.
“Saya kuat sebenarnya sebab keluarga. Saya sentiasa fikirkan mereka, terutama anak saya, Hawra,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Kamal sedang menjalani penggambaran sebuah drama berjudul P.L I Love You selain bakal terbabit dalam sebuah filem akan datang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




