ARAU: Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional menjalinkan kerjasama menerusi pementeraian memorandum persefahaman (MoU) dalam usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan tempatan.
Menerusi kerjasama tersebut, seramai 400 usahawan terlibat akan diberi pendedahan mengenai peluang-peluang pembiayaan yang ditawarkan oleh Tekun Nasional.
Pengerusi Tekun Nasional, Datuk Abdullah Sani Abd Hamid berkata, inisiatif ini juga akan memberi ruang dan peluang buat usahawan berinteraksi secara terus dengan agensi itu bagi memperkukuhkan jaringan keusahawanan di negeri ini.
“Inisiatif ini secara tidak langsung juga akan membantu menyumbang kepada peningkatan kutipan hasil MPK melalui pertambahan permohonan lesen perniagaan dan pembayaran cukai yang akhirnya akan memberi kesan positif kepada pembangunan bandar dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan,” katanya pada Majlis Perasmian Penutupan Program Taklimat Usahawan Negeri Perlis di Dewan Sivik MPK, di sini, hari ini.
Berangkat sama bagi menyempurnakan majlis perasmian itu adalah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dengan diiringi Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil dan Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth.
Pada majlis itu, seramai enam usahawan Tekun di negeri ini turut menerima mock cek berjumlah RM125,000 secara keseluruhan.
Mengulas lanjut, Abdullah Sani berkata, manfaat menerusi kerjasama ini bukan sahaja melibatkan aspek pembiayaan namun turut membuka ruang kepada pelbagai program latihan, kursus dan bimbingan keusahawanan.
“Ini adalah bagi meningkatkan daya saing dan kecekapan para peniaga dalam mengurus serta mengembangkan lagi perniagaan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Abdullah Sani berkata, sejak ditubuhkan pada tahun 1998, Tekun Nasional sehingga kini telah menyalurkan RM10.5 bilion kepada 602,059 usahawan di seluruh negara.
Katanya, manakala bagi negeri ini, seramai 9,958 orang usahawan telah menerima manfaat pembiayaan Tekun Nasional berjumlah RM170.6 juta bagi tempoh sama.
“Untuk tahun ini (Januari hingga Jun), Tekun Nasional telah memberi 18,248 pembiayaan berjumlah RM457.5 juta di seluruh negara manakala Perlis pula telah memberi 292 pembiayaan berjumlah RM6.7 juta,” katanya.-UTUSAN