Polis nafi stesen penyelidikan UKM diceroboh warga asing, sebaliknya pekerja ladang yang dilantik

Polis nafi stesen penyelidikan UKM diceroboh warga asing, sebaliknya pekerja ladang yang dilantik

am@hmetro.com.my

Kuala Pilah: Polis mengesahkan warga asing yang didakwa mendiami kawasan Stesen Penyelidikan Biofuel Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Selaru, Johol, di sini, adalah pekerja ladang syarikat yang dilantik bagi mengurus dan menyelenggara kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai hantaran tular di Facebook sejak semalam yang mendakwa kawasan stesen penyelidikan itu diceroboh dan dijadikan penempatan warga asing.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kawasan berkenaan adalah ladang stesen penyelidikan yang diusahakan bagi tujuan penyelidikan tanaman kelapa sawit di kawasan seluas kira-kira 80 ekar.

“Pemeriksaan turut mendapati bangunan bekas pejabat dan beberapa infrastruktur di kawasan itu mengalami kerosakan akibat faktor usia serta kurang penyelenggaraan, selain terdapat kehilangan beberapa barangan.

“Siasatan juga mendapati terdapat pekerja warga asing yang mendiami sebuah rumah di dalam kawasan ladang. Mereka adalah pekerja syarikat yang dilantik pihak UKM bagi menjalankan kerja pengurusan dan penyelenggaraan ladang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semakan mendapati seorang daripada pekerja itu berstatus penduduk tetap (PR) Malaysia, manakala dua lagi warga Indonesia sedang dalam proses pembaharuan permit kerja.

Mengulas dakwaan pencerobohan, beliau berkata, siasatan awal mendapati kawasan itu sebelum ini tidak berpagar sepenuhnya sehingga membolehkan orang awam dan kenderaan keluar masuk dengan mudah.

“Bagaimanapun, pihak syarikat pengurusan ladang kini sudah mengambil tindakan dengan memasang pagar di laluan masuk bagi mengelakkan sebarang pencerobohan pada masa depan.

“Kami akan terus bekerjasama dengan pihak UKM serta agensi berkaitan bagi memastikan kawasan itu sentiasa berada dalam keadaan selamat dan segala isu yang dibangkitkan dapat ditangani mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top