hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bimbang terlepas penerbangan punca wanita warga China mencederakan pegawai kaunter imigresen ketika pemeriksaan pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin.
Sumber berkata, ketika kejadian, wanita berkenaan bersama ahli keluarga termasuk dua anaknya sedang berada di kaunter untuk urusan endosemen keluar dari negara ini.
“Wanita bersama keluarganya didapati sudah lewat hadir ke kaunter Imigresen berkenaan kerana mengejar penerbangan pulang ke Pudong, China pada jam 7.25.
“Ketika di kaunter, wanita berkenaan diminta untuk beralih ke tepi untuk pemeriksaan lanjut kerana tiada rekod kemasukan ke negara ini,” katanya.
Menurutnya, berang dan khuatir terlepas penerbangan menyebabkan wanita terbabit secara tiba-tiba membuat kecoh dengan meninggikan suara dan terus menarik tudung pegawai bertugas lalu menolak kepalanya dengan kuat ke arah tiang di hadapan kaunter.
“Wanita terbabit berjaya ditahan selepas pegawai berkenaan memohon bantuan daripada pegawai bertugas lain,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar ketika dihubungi mengesahkan tindakan wanita berkenaan.
“Ya.. punca kelewatan kerana perlu semakan lanjut menyebabkan wanita berkenaan berang.
“Dia sekeluarga ingin cepat kerana khuatir terlepas penerbangan,” katanya.
Semalam, wanita warga China ditahan kerana bertindak agresif dan mencederakan pegawai kaunter imigresen ketika pemeriksaan pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7.40 malam di Balai Berlepas KLIA Terminal 1 apabila empat warga China terdiri daripada dua dewasa dan dua kanak-kanak menjalani pemeriksaan pelepasan imigresen.
Wanita warga China berkenaan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam), Seksyen 332 (mencederakan penjawat awam), dan Seksyen 353 (menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam).
© New Straits Times Press (M) Bhd




