Calon tunggal PSM ikut jejak calon Bersama isytihar harta

Calon tunggal PSM ikut jejak calon Bersama isytihar harta

JOHOR BAHRU – Calon tunggal Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengikut jejak 15 calon dari Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang mengambil langkah mengisytihar harta pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke 16.

Amir Syafiq Ameer Soekre, 40, yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai mengisytihar harta, pendapatan dan perbelanjaan secara akuan berkanun mengikut Akta Akuan Berkanun 1960.

“Kesemua anggaran berkaitan aset, hutang dan perbelanjaan saya adalah terkandung di dalam mengisytiharan ini dibuat dengan usaha terbaik dan berdasarkan dokumen, rekod dan anggaran saya.

“Jika dipilih sebagai wakil calon DUN Skudai, selaras dengan perlembagaan PSM kami akan membuat pngisytiharan harta setahun sekali agar segala perbelanjaan lebih telus

“Hari ini kita juga berikrar anti rasisme yang menjadi pendirian PSM jelas perjuangan kelas yang tanpa mengira warna kulit.

“PSM merupakan parti tulen amat progresif tentang perjuangan kelas dan sebarang tindak tanduk yang menindas, serta menolak sepenuhnya politik berasaskan perkauman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media deklarasi harta dan ikrar anti-rasisme calon PSM di Pasar Awam Taman Ungku Tun Aminah di sini pada Rabu.

Amir Syafiq yang juga Graduan Teesside University di United Kingdom yakin mendapat sokongan pengundi di kawasan itu.

Katanya sebelum ini PSM telah bergerak aktif dengan kerja akar umbi yang dilakukan sekitar kawasan DUN terbabit sejak 20 tahun lalu.

“Antara yang disuarakan rakyat di sini adalah masalah infrastruktur termasuklah jalan raya kerana di sini kerap berlakunya kesesakan lalu lintas dan juga ada jalan-jalan berlubang.

“Saya juga ada jumpa seorang makcik yang kata sewa rumah di sini semakin mahal, dia pula kerja pembantu kedai sahaja jadi tak mampu jika harga sewa rumah pun semakin tinggi. Ini antara perkara yang kita cuba selesaikan nanti,” katanya.

Mengenai pertembungan empat penjuru yang dihadapinya di DUN Skudai, Amir Syafiq berkata ia adalah persaingan sihat.

Katanya, keempat-empat calon termasuk dirinya adalah muka baharu dalam politik.

“Sebagai calon memang ini kali pertama saya bertanding, tetapi sebagai seorang aktivis, sudah lima tahun saya kita mendekati rakyat di Skudai, mengenal pasti masalah dan menyelesaikan masalah mereka.

“Rasanya, kita sudah ada kaedah-kaedah yang kita boleh laksanakan, nak berjumpa orang ini saya rasa tak ada masalah.

“Saya tengok calon lain pun muka baharu, jadi ini persaingan yang sihatlah. Cumanya, kita nampak peluang kita untuk menang apabila lihat apa yang sudah kita lakukan sebelum ini. Itu pengalaman untuk saya lebih ke hadapan. Biar rakyat menilai,” katanya.

Amir Syafiq bertemu pengundi di Dun Skudai.

Amir Syafiq bertemu pengundi di Dun Skudai.

Dalam masa sama, Amir Syafiq turut berkongsi kesedihan bersama penduduk Skudai apabila ‘kehilangan’ wakil rakyat yang benar-benar berkhidmat untuk mereka sebelum ini iaitu Marina.

Katanya majoriti penduduk Skudai yang ditemui menyatakan Marina adalah wakil rakyat terbaik yang dipilih mereka.

“PSM menghormati beliau (Marina), tetapi sedihnya apabila seorang wakil rakyat yang membuat kerja dengan baik dan disayangi rakyat menjadi ‘mangsa’ percaturan dalaman DAP.

“Namun begitu, bagi seorang calon, saya dapat rasa ada satu semangat yang ditinggalkan Marina di sini, menyebabkan saya juga perlu buat kerja dengan sebaik mungkin dan memberi pilihan kepada rakyat untuk menilai bahawa kami boleh buat seperti Marina,” katanya.

Amir Syafiq mewakili PSM berentap dengan tiga calon lain bagi merebut kerusi DUN Skudai yang disandang Marina Ibrahim dari Pakatan Harapan (PH).

Calon lain di DUN Skudai adalah calon Barisan Nasional (BN), Nicol @ Ah Kee yang dipindahkan ke kawasan itu pada PRN kali ini; calon PH, Kartiyaini Jeyapalan dan calon Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), Eugene Chua Meng Chong.

 

 

 

Scroll to Top