“Perjalanan saya panjang, pahit-manis, tapi indah,”
Demikian luahan penyanyi bersuara lantang, Aina Abdul yang kini mencipta sejarah tersendiri apabila meraih sembilan pencalonan dalam lapan kategori di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24).
Menerusi perkongsian di Instagram (IG) miliknya pada Sabtu, Aina mengakui kejayaan itu cukup bermakna selepas melalui fasa jatuh bangun dalam kerjaya seninya sejak hampir sedekad lalu.
“Momen macam ni buat saya teringat balik tahun-tahun susah nak mendaki, nak bertapak dalam industri ini. Saya tak sangka ia perjalanan yang panjang. Bukan semuanya menyeronokkan, tapi saya panggil ‘beautifully challenging’.
“Kalau tanya, dah matang ke Aina? Jawapan dia tak. Banyak soalan hidup masih belum ada jawapan. Nak dapat jawapan tu kena bawa diri jauh nak pujuk hati supaay tak putus asa.
“Rezeki Allah SWT luas. Sebenarnya tak pernah sempit. Overwhelmed sangat dengan pencalonan-pencalonan ini. Ada yang saya betul-betul tak sangka. Banyak saya submit tahun ini.
“Yelah, we got a lot of hate daripada kesilapan lalu. Alhamdulillah, dapat tebus balik dengan submission AIM tahun ini,” katanya.
Lebih manis, ini kali pertama Aina menghantar penyertaan ke AIM menerusi album Imaji dan Imaji Deluxe Edition namun terus melakar pencalonan terbanyak tahun ini.
Antara kategori dipertandingkan termasuk Album Terbaik, Rakaman Lagu Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Runut Bunyi Terbaik Filem/Drama, Rakaman Album Terbaik serta Kulit Album Terbaik.
Paling mencuri tumpuan, Aina turut dicalonkan untuk Vokal Wanita Terbaik bersama barisan hebat seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Marsha Milan dan Ernie Zakri.
AIM24 dijadual berlangsung pada 13 September depan di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang, dan disiarkan secara langsung di RTM.
Artikel Berkaitan: Luah Rasa Syukur, Aina Abdul ‘Sapu’ Pencalonan Terbanyak Di AIM24 – “Kali Pertama Buat Saya & Saya Impi Nak Pegang Award Tu”




