Drama bersiri Hilang Dalam Rindu yang kini ditayangkan di TV3 semakin mencuri perhatian penonton apabila setiap episod baharunya dinanti-nantikan dengan penuh keterujaan.
Mengisi Slot Samarinda TV3, drama tersebut merupakan adaptasi daripada novel popular tulisan Mia Azwari dan menampilkan barisan pelakon muda berbakat besar antaranya Jazmy Juma, Tracie Sinidol, Qistina Rania dan Zarif Ghazzi.
Hasil tinjauan di media sosial menunjukkan reaksi positif daripada warganet yang rata-ratanya memuji lakonan penuh penghayatan para pelakon yang berjaya membawa watak masing-masing dengan berkesan.
Malah, sentuhan pengarah Along Kamaludin turut menerima pujian kerana berjaya menterjemahkan karya asal dengan olahan jalan cerita yang menarik dan menyentuh hati.
Selain skrip yang kuat, pemilihan pelakon yang tepat juga menjadi faktor drama ini semakin mendapat perhatian hingga trending di platform media sosial.
Hilang Dalam Rindu mengisahkan konflik rumah tangga Aira Nadira (Tracie Sinidol) dan Nadim Eijaz (Jazmy Juma). Kehidupan pasangan ini menjadi lebih rumit apabila Aira yang mengalami hilang ingatan selepas terlibat dalam kemalangan terpaksa berdepan dengan Nadim, suami yang tidak pernah menunjukkan kasih sayang terhadapnya.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan drama penuh emosi ini setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di TV3, atau strim episod terbaharu 24 jam lebih awal menerusi Tonton.